Skip to main content

Bisnes

YTL Construction tekad jadikan budaya HSE amalan kerja harian

Yuan HSE
Pengarah Eksekutif YTL Construction, Yeoh Keon Yuan berkata, penganjuran Minggu HSE merupakan platform strategik untuk warga kerja berhenti sejenak bagi berkongsi ilmu, belajar antara satu sama lain serta memperkukuh peranan masing-masing dalam menjaga keselamatan di tempat kerja. - Foto Astro AWANI
Advertisement

KUALA LUMPUR: YTL Construction menegaskan bahawa aspek kesihatan, keselamatan dan alam sekitar (HSE) perlu dijadikan sebagai budaya kerja harian dan bukannya sekadar amalan yang diberi perhatian sewaktu sambutan Minggu HSE tahunan.

Pengarah Eksekutif YTL Construction, Yeoh Keon Yuan berkata, penganjuran Minggu HSE merupakan platform strategik untuk warga kerja berhenti sejenak bagi berkongsi ilmu, belajar antara satu sama lain serta memperkukuh peranan masing-masing dalam menjaga keselamatan di tempat kerja.

Keon Yuan berkata, penganjuran HSE setiap tahun bukan sekadar aktiviti bermusim, sebaliknya ia merupakan budaya yang perlu diutamakan oleh setiap kakitangan dalam organisasi tersebut.

“Bagi tahun ini, kita melaksanakan pelbagai aktiviti yang merangkumi aspek keselamatan, kesihatan dan juga kesejahteraan (wellness). 

"Ini penting bagi memastikan kita dapat mengekalkan budaya 'Safety First' di seluruh Kumpulan YTL,” katanya kepada Astro AWANI pada Jumaat.

Mengulas mengenai pendekatan syarikat dalam membina budaya keselamatan yang mampan, Keon Yuan menjelaskan bahawa YTL Construction telah mengambil langkah proaktif dengan menubuhkan pusat latihan khusus.

“Tahun ini, kami bangga dengan penubuhan Pusat Latihan Keselamatan YTL (YTL Safety Training Centre) di Brickfields. Pusat ini bertujuan memberi peluang kepada semua warga Kumpulan YTL, dan bukan hanya terhad kepada sektor pembinaan sahaja, untuk belajar serta mengamalkan budaya keselamatan yang cemerlang,” tambahnya.

Menurut beliau, keberkesanan inisiatif keselamatan syarikat terbukti menerusi pelbagai pengiktirafan yang diterima daripada pihak berkuasa, termasuk merangkul Anugerah OSH Kebangsaan daripada Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) serta anugerah daripada SWCorp bagi sektor pembinaan.

Bagaimanapun, Keon Yuan menegaskan bahawa pencapaian sebenar bagi syarikat bukanlah sekadar trofi atau sijil penghargaan, tetapi kelangsungan hidup para pekerja mereka.

“Bagi kami, pengiktirafan yang paling penting adalah apabila semua warga di tapak kerja dapat menjalankan tugas dengan baik, menerima gaji mereka dan yang paling utama, pulang ke pangkuan keluarga dengan selamat setiap hari. Itulah impak sebenar yang kami sasarkan,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Astro AWANI turut mencatat kejayaan apabila muncul juara pertandingan boling yang dianjurkan sempena Minggu HSE YTL pada Selasa lalu.

Kemenangan itu mencerminkan semangat kerjasama dan kesukanan yang diterapkan sepanjang penganjuran program berkenaan, yang bukan sahaja memfokuskan aspek keselamatan dan kesihatan, malah mengukuhkan hubungan antara peserta serta rakan strategik industri.

Must Watch Video

Advertisement