BUSINESS
YTL Power di landasan tepat lancar superkomputer pertama pada suku ketiga
Superkomputer tersebut akan ditempatkan di kemudahan pusat data seluas 1,640 ekar di Kampus Pusat Data Hijau YTL Power di Johor - Foto YTL Power
KUALA LUMPUR: YTL Power International Bhd (YTL Power) dijangka melancarkan superkomputer pertama di Malaysia yang menggunakan Nvidia GB200 Grace Blackwell Superchip pada platform Nvidia DGX Cloud menjelang suku ketiga tahun ini.
Ringkasan AI
- YTL Power bakal melancarkan superkomputer AI pertama di Malaysia menggunakan Nvidia GB200 Grace Blackwell Superchip pada platform Nvidia DGX Cloud, dijangka beroperasi menjelang suku ketiga 2025.
- Superkomputer ini akan menjadi asas kepada AI berdaulat Malaysia, menggerakkan Model Bahasa Besar (LLM) ILMU 1.0, serta memperkukuh infrastruktur pengkomputeran awan AI di rantau ini.
- Superkomputer akan ditempatkan di Kampus Pusat Data Hijau YTL Power di Johor, seluas 1,640 ekar, dan dikuasakan oleh 500MW tenaga solar, menjadikannya antara pusat data AI paling maju di Asia Pasifik.
Pengarah Urusan YTL Power, Datuk Seri Yeoh Seok Hong berkata pihaknya terus mencatatkan kemajuan cemerlang dan berada di landasan yang tepat untuk melancarkan Superkomputer AI YTL dalam tempoh tersebut.
"Infrastruktur awan AI ini akan menjadi asas kepada AI berdaulat negara dan akan menggerakkan Model Bahasa Besar (LLM) milik Malaysia sendiri, ILMU 1.0.
"NVIDIA DGX Cloud akan dilancarkan bersama ILMU 1.0, yang merupakan satu pencapaian penting yang akan memulakan pembangunan penyelesaian AI Malaysia," katanya dalam satu kenyataan kepada Astro AWANI pada Khamis.
Pada Mac lalu, Seok Hong berkata kumpulan itu bersedia untuk menawarkan pengkomputeran awan kecerdasan buatan (AI) yang berkuasa kepada rantau ini apabila kluster Blackwell pertama mereka mula beroperasi, dijangka pada Julai depan.
Ujar beliau, YTL Cloud, anak syarikat NCP YTL Power, akan menjadi antara penyedia perkhidmatan awan pertama di Asia Pasifik yang menggunakan platform Nvidia Blackwell Ultra.
Sementara itu, memetik laporan The Edge, Naib Presiden dan Pengurus Besar DGX Cloud di Nvidia Corp, Alexis Bjorlin mengesahkan bahawa pelaksanaan platform Nvidia Blackwell Ultra di Malaysia berjalan dengan baik.
Beliau memaklumkan bahawa DGX Cloud akan dihoskan pada infrastruktur YTL, yang merupakan rakan kongsi awan Nvidia (NCP).
Superkomputer tersebut akan ditempatkan di kemudahan pusat data seluas 1,640 ekar di Kampus Pusat Data Hijau YTL Power di Johor, yang dikuasakan oleh sumber tenaga boleh diperbaharui daripada kemudahan solar 500 megawatt (MW) di lokasi itu.