DUNIA
1,000 terkorban akibat tanah runtuh di Sudan

Tanah runtuh yang memusnahkan sebuah perkampungan di kawasan Pergunungan Marra, barat Sudan berlaku pada 31 Ogos lalu susulan hujan lebat berterusan selama beberapa hari. - Gambar media sosial
KHARTOUM: Sekurang-kurangnya 1,000 orang dilaporkan maut dalam kejadian tanah runtuh yang memusnahkan sebuah perkampungan di kawasan Pergunungan Marra, barat Sudan.
Hanya seorang mangsa dilaporkan terselamat.
Menurut kenyataan Pergerakan Pembebasan Sudan (SLM/A) yang diketuai Abdelwahid Mohamed Nour, kejadian itu berlaku pada 31 Ogos lalu susulan hujan lebat berterusan selama beberapa hari.
Kumpulan itu, yang menguasai kawasan berkenaan di rantau Darfur merayu Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) serta agensi bantuan antarabangsa supaya membantu operasi mencari dan mengeluarkan mayat mangsa, termasuk lelaki, wanita dan kanak-kanak.“Perkampungan itu kini musnah sepenuhnya,” menurut kenyataan berkenaan.
Difahamkan, ramai penduduk yang terbunuh merupakan pelarian yang melarikan diri daripada konflik antara tentera Sudan dan pasukan separa tentera, Pasukan Sokongan Pantas (RSF), yang sedang memuncak di negeri Darfur Utara.
Mereka berpindah ke kawasan Pergunungan Marra, meskipun di situ bekalan makanan dan ubat-ubatan sangat terhad.
Sudan kini berdepan perang saudara berlarutan lebih dua tahun, menyebabkan lebih separuh daripada populasinya berisiko kebuluran, manakala jutaan lagi hilang tempat tinggal.
Dalam pada itu, ibu negeri Darfur Utara, Al-Fashir, terus menjadi medan pertempuran sengit antara kedua-dua pihak bertelagah dengan kawasan itu kini dibedil hebat. - Agensi
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami