DUNIA
10 maut akibat kebuluran di Gaza dalam tempoh 24 jam - Kementerian Kesihatan Palestin

Muhammad Zakariya Ayyoub al-Matouq, kanak-kanak berusia 18 bulan di Gaza City, Gaza, berdepan malnutrisi yang mengancam nyawa ketika keadaan kemanusiaan makin teruk pada 21 Julai 2025. - Gambar Reuters
GAZA: Sekurang-kurangnya 10 orang dilaporkan maut akibat kebuluran dalam tempoh 24 jam terakhir di Semenanjung Gaza, menurut Kementerian Kesihatan Palestin di wilayah terkepung itu.
Pengarah Jeneral kementerian tersebut, Dr Munir al-Boursh dalam satu kenyataan di platform X berkata, kadar kematian akibat kebuluran dan kekurangan zat makanan kini meningkat secara membimbangkan.
“Ini bukan sekadar angka – ini adalah jeritan minta tolong, rayuan kemanusiaan yang mendesak dunia bertindak sebelum segalanya terlambat,” katanya.
Perkembangan ini hadir ketika lebih 100 pertubuhan kemanusiaan antarabangsa pada Rabu menyeru Israel menamatkan sekatan ke atas Gaza, yang telah memburukkan lagi krisis kemanusiaan sejak berbulan lalu.Ribuan penduduk Gaza ketika ini dilaporkan berdepan kekurangan makanan dan air bersih yang kritikal, dengan pelbagai agensi antarabangsa menyifatkan keadaan sebagai “di ambang kebuluran besar.” - Agensi

Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami