DUNIA

10 maut dalam insiden dua tren bertembung di selatan Sepanyol

Agensi 18/01/2026 | 23:00 MYT
Penumpang menunggu di dewan Stesen Kereta Api Madrid pada Ahad susulan pengumuman penggantungan perkhidmatan selepas kemalangan yang mengakibatkan dua tren tergelincir di Cordoba. - Gambar AP
MADRID: Sekurang-kurangnya 10 orang disahkan maut selepas dua tren berkelajuan tinggi bertembung di selatan Sepanyol, menurut pihak berkuasa pada Ahad.

Agensi pengurusan landasan Sepanyol, ADIF memaklumkan dalam hantaran di platform X, tren dari Malaga menuju Madrid telah tergelincir berhampiran kawasan Adamuz, lalu memasuki laluan bertentangan sebelum merempuh tren lain yang sedang menuju dari arah berlawanan.

Rempuhan itu turut menyebabkan kedua-dua tren berkenaan tergelincir.

Guardia Civil mengesahkan bilangan korban setakat ini seramai 10 orang, manakala perkhidmatan kecemasan Andalusia sebelum itu melaporkan sekurang-kurangnya 25 penumpang mengalami kecederaan serius.

Bagi operasi di lokasi kejadian, pihak berkuasa mengerahkan lima unit rawatan rapi bergerak (ICU), empat unit rawatan kritikal kecemasan serta puluhan ambulans untuk membantu mangsa.

Presiden kerajaan wilayah Andalusia, Juanma Moreno dalam kenyataan di media sosial lewat Ahad berkata, usaha pasukan penyelamat kini memberi tumpuan kepada menstabilkan mangsa sebelum dibawa ke hospital.

“Solidariti dan sokongan kami kepada semua yang terkesan,” katanya.

Pasukan ADIF turut bekerjasama dengan anggota kecemasan di lapangan bagi menyelaras usaha mencari dan menyelamat.

Susulan kemalangan itu, perkhidmatan tren dari wilayah Andalusia ke Madrid digantung, melibatkan laluan dari Cordoba, Sevilla, Malaga dan Huelva, sekurang‑kurangnya sehingga Isnin.

Seorang wartawan penyiaran negara RTVE, Salvador Jimenez yang berada dalam tren dari Malaga memberitahu portal Informacion, dua gerabak terakhir tren itu yang paling teruk terjejas, dengan gerabak terakhir terbalik sepenuhnya di atas landasan.

Menurutnya, beberapa saat sebelum insiden, tren itu bergegar kuat seolah‑olah mengalami “gempa bumi.” - Agensi


#sepanyol #tren bertembung #10 maut #rempuhan tren