DUNIA

10 rakyat Palestin terkorban dalam serangan udara Israel terhadap gudang bantuan di Gaza

Bernama 30/06/2025 | 11:50 MYT
Menurut laporan PBB, lebih 550 rakyat Palestin telah terkorban ketika cuba mendapatkan makanan di pusat pengagihan bantuan Israel-Amerika. - AP
GAZA: Sekurang-kurangnya 10 rakyat Palestin terkorban pada pagi Isnin selepas pesawat tentera Israel menyerang sebuah gudang pengagihan bantuan di kejiranan Al-Zaytoun, selatan Bandaraya Gaza, lapor Agensi Berita Qatar (QNA).
Menurut laporan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), lebih 550 rakyat Palestin telah terkorban ketika cuba mendapatkan makanan di pusat pengagihan bantuan Israel-Amerika.
Sejak pusat-pusat ini diwujudkan akhir bulan lepas, ia menjadi kawasan berbahaya yang digambarkan oleh kumpulan hak asasi manusia dan pemerhati sebagai "perangkap pembunuhan beramai-ramai" yang turut mendedahkan orang awam kepada penghinaan, pemindahan paksa dan penderitaan kemanusiaan yang semakin mendalam.
Perang genosid yang berterusan di Semenanjung Gaza, kini memasuki bulan ke-21, telah menyebabkan hampir 189,000 rakyat Palestin terkorban atau cedera, majoritinya kanak-kanak dan wanita, dengan lebih 11,000 orang masih hilang.
-- BERNAMA
#Gaza #Palestin #serangan Israel #pusat bantuan #PBB #angka korban