SEBANYAK 10 ekor singa terbunuh di selatan Kenya pada minggu lalu, termasuk enam ekor pada hari Sabtu saja, ketika konflik antara manusia dan haiwan liar semakin meningkat di kawasan tersebut, kata Perkhidmatan Haiwan Liar Kenya (KWS).

Perkembangan ini menyaksikan "jumlah singa yang terbunuh secara luar biasa dalam satu masa," kata jurucakap KWS kepada CNN pada Ahad.

Kejadian ini berlaku selepas pihak pemuliharaan mengumumkan pembunuhan salah seekor singa tertua di Afrika iaitu Loonkiito, pada usia 19 tahun pada awal minggu lalu.

Loonkiito didakwa telah keluar dari kawasan yang dilindungi dan memasuki kandang ternakan kerana "kelaparan" dan dibunuh oleh pemilik ternakan, mengikut pertubuhan pemuliharaan Lion Guardians.

Menurut pertubuhan tersebut, kelazimannya pada hujung musim kemarau akan menyaksikan jumlah peningkatan konflik manusia-singa, kerana haiwan liar itu menjadi lebih sukar untuk diburu dan pemilik ternakan menjadi "lebih berwaspada" selepas kehilangan banyak binatang.

Kenya ketika ini sedang mengalami kemarau terburuk dalam tempoh 40 tahun.

Enam ekor singa yang mati pada Sabtu lalu telah membunuh 11 ekor kambing dan seekor anjing, kata KWS dalam kenyataan media yang dikeluarkan.

Singa-singa tersebut merupakan sebahagian daripada ekosistem Amboseli di daerah Kajiado, sebuah tapak rizab biosfera Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) yang berdekatan dengan Gunung Kilimanjaro, kata Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

KWS juga telah mengadakan mesyuarat pada hari Sabtu yang turut disertai penduduk-penduduk tempatan dan pegawai kerajaan untuk membincangkan kes pembunuhan-pembunuhan terkini haiwan liar itu.

"Perbincangan difokuskan pada cara-cara untuk meminimumkan risiko konflik manusia-haiwan liar, termasuk membangunkan sistem amaran awal untuk memberitahu komuniti berhubung kehadiran haiwan liar di sekitar mereka," kata KWS.

"Perbincangan lanjut difokuskan pada gambaran yang lebih luas untuk meneliti konflik manusia-haiwan liar dalam konteks mata pencarian komuniti dan perkongsian manfaat menuju kehidupan yang harmoni dalam landskap komuniti terbuka dan haiwan liar," tambah KWS.