NEW DELHI: Kira-kira 100 warga Nepal yang berkhidmat dalam tentera Rusia dilaporkan hilang atau cedera dalam pertempuran dengan Ukraine.

Kira-kira 200 warga Nepal yang dipercayai ke Rusia untuk bekerja, belajar atau melancong kemudiannya menyertai pasukan tentera dan Nepal telah membangkitkan perkara itu dengan kerajaan Rusia.

"Kerajaan Rusia memberikan maklumat bahawa beberapa warga Nepal telah menyertai tenteranya dan tujuh daripada mereka telah terbunuh. Selain itu, kementerian telah menerima aduan bahawa kira-kira 100 warga Nepal hilang dan cedera," kata Menteri Luar Nepal Narayan Prakash Saud seperti yang dilaporkan media Nepal pada Selasa.

Nepal baru-baru ini menahan sebuah kumpulan yang disyaki terlibat dalam mendaftarkan orang awam sebagai askar upahan untuk Rusia.

Seorang pegawai Ukraine pada Oktober memuat naik video di media sosial mengenai seorang lelaki Nepal yang ditangkap, yang mengaku menyertai perang kerana memerlukan wang.

"Keluarga saya dalam kesusahan. Ibu saya tidak bekerja, kami memerlukan wang," kata lelaki itu dalam video berkenaan.

-- BERNAMA