DUNIA

100,000 naskah di perpustakaan tertua Hungary diancam kumbang pemusnah

Astro Awani 14/07/2025 | 02:20 MYT
Seorang pemulih buku menunjukkan naskhah lama yang berlubang akibat serangan kumbang 'drugstore beetle', di Perpustakaan Biara Pannonhalma, Hungary. - Foto AP
PANNONHALMA: Perpustakaan berusia lebih 1,000 tahun di Hungary kini berdepan krisis apabila kira-kira 100,000 naskhah buku bersejarah terancam akibat serangan kumbang yang boleh memusnahkan warisan budaya berabad lamanya.

Perpustakaan di Biara Pannonhalma, sebuah biara Benedictine yang tersenarai sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO, mula mengesan infestasi kumbang semasa pembersihan rutin.

Kumbang jenis 'drugstore beetle', yang biasanya ditemui dalam makanan kering seperti bijirin dan rempah, didapati tertarik kepada pelekat berasaskan gelatin dan kanji yang digunakan dalam penjilidan buku lama.

“Infestasi ini sangat serius dan telah merebak ke beberapa bahagian perpustakaan. Oleh itu, keseluruhan koleksi dianggap terjangkit dan perlu dirawat serentak,” kata Zsófia Edit Hajdu, ketua pemuliharaan projek tersebut.

Sebagai langkah kecemasan, buku-buku berkenaan kini ditempatkan dalam beg plastik kedap udara yang diisi dengan nitrogen tulen, bertujuan membunuh serangga tersebut dengan menghapuskan oksigen.

Proses ini dijangka mengambil masa enam minggu sebelum setiap buku diperiksa dan dibersihkan secara individu.

Buku yang rosak akan dihantar untuk kerja pemulihan lanjut.

Biara Pannonhalma, yang diasaskan pada tahun 996, menyimpan koleksi tertua Hungary termasuk manuskrip sebelum penciptaan mesin cetak dan sebuah Bible lengkap dari abad ke-13.

Menurut pengarah perpustakaan, Ilona Ásványi, kerosakan terhadap koleksi ini adalah satu kehilangan besar kepada sejarah dan budaya negara.

“Kami bukan sekadar menjaga buku, tetapi menjaga jiwa warisan Hungary,” katanya.

Beliau turut menyatakan bahawa perubahan iklim mungkin menjadi punca infestasi ini, kerana suhu yang semakin meningkat membolehkan kitaran hidup kumbang berlaku lebih kerap.

Perpustakaan dijangka dibuka semula awal tahun depan selepas proses pemulihan selesai sepenuhnya.

Dalam pada itu, komuniti Benedictine terus berpegang kepada prinsip bahawa setiap harta biara adalah seumpama khazanah warisan yang perlu dipelihara dengan penuh tanggungjawab.







#Biara Pannonhalma #naskah buku #kumbang pemusnah #Tapak Warisan Dunia UNESCO