DUNIA

104 termasuk 46 kanak-kanak jadi mangsa kekejaman Israel dalam tempoh 12 jam lalu

Astro Awani 29/10/2025 | 11:53 MYT
Antara mangsa yang terkorban termasuk 46 kanak-kanak, manakala lebih 250 lagi cedera dan terperangkap di bawah runtuhan bangunan. -Gambar fail/Reuters
GAZA: Sekurang-kurangnya 104 penduduk Palestin terbunuh dalam serangan udara Israel ke atas Semenanjung Gaza dalam tempoh 12 jam terakhir, menurut Kementerian Kesihatan Gaza, selepas Israel mendakwa seorang tenteranya dibunuh oleh Hamas dalam insiden tembakan di Rafah.


Ringkasan AI
  • Sekurang-kurangnya 104 penduduk Palestin terbunuh dalam serangan udara Israel ke atas Gaza susulan dakwaan pembunuhan seorang tentera Israel oleh Hamas di Rafah.
  • Serangan balas Israel mencetuskan kebimbangan terhadap kelangsungan gencatan senjata, walaupun Hamas menafikan penglibatan dan menegaskan komitmen terhadap perjanjian damai.
  • Pemerhati antarabangsa menyifatkan situasi sebagai berisiko tinggi dan menyeru pembukaan koridor kemanusiaan serta pematuhan gencatan senjata demi keselamatan awam.


Serangan tersebut dilancarkan atas arahan Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, yang mengarahkan serangan balas berskala besar ke atas kawasan kediaman di Gaza tengah, utara dan selatan, sekali gus mencetuskan kebimbangan terhadap kelangsungan gencatan senjata yang dimeterai awal bulan ini.

Antara mangsa yang terkorban termasuk 46 kanak-kanak, manakala lebih 250 lagi cedera dan terperangkap di bawah runtuhan bangunan.

Pasukan Pertahanan Awam Gaza menyeru pembukaan koridor kemanusiaan segera bagi membolehkan kemasukan bahan api, peralatan dan bantuan perubatan.

Hamas melalui sayap bersenjatanya, Briged Al-Qassam, menafikan penglibatan dalam insiden tembakan tersebut dan menegaskan komitmen terhadap terma gencatan senjata yang mula berkuat kuasa sejak 10 Okt lalu.

Sebagai sebahagian daripada perjanjian itu, Hamas telah menyerahkan 16 mayat tebusan dan dijangka menyerahkan baki 12 lagi dalam tempoh terdekat.

Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, dalam kenyataan di Washington, berkata Israel berhak mempertahankan diri namun menegaskan bahawa tiada apa yang akan menjejaskan gencatan senjata yang sedang diusahakan oleh pentadbirannya.

Situasi semasa disifatkan oleh pemerhati antarabangsa sebagai tidak kukuh dan berisiko tinggi, dengan kebimbangan bahawa keganasan akan terus meningkat sekiranya rundingan damai gagal dipulihkan.









#gencatan senjata #Hamas #Israel #serangan udara