DUNIA

106 kerajaan zahir komitmen percepat kemajuan wanita, gadis menjelang 2030 - PBB

Bernama 20/09/2025 | 06:30 MYT
"Beijing+30 Priority Actions Dashboard" menampilkan komitmen kerajaan terhadap hak wanita dan membuktikan bahawa kesamaan jantina kekal sebagai pemangkin perpaduan dalam multilateralisme.
NEW YORK: Dalam pendirian multilateralisme paling kukuh bagi wanita dan gadis sejak 30 tahun lalu, sebanyak 106 kerajaan dari seluruh rantau tampil dengan 191 komitmen untuk mempercepat kemajuan wanita dan gadis menjelang 2030, menurut UN Women pada Jumaat.


Ringkasan AI
  • Sebanyak 106 kerajaan tampil dengan 191 komitmen dalam inisiatif Beijing plus 30 untuk mempercepat kemajuan wanita dan gadis menjelang 2030, menjelang ulang tahun ke-30 Persidangan Dunia Mengenai Wanita.
  • Satu daripada tiga komitmen menumpukan kepada usaha menamatkan keganasan terhadap wanita dan gadis, manakala 46 kerajaan berlandaskan perjanjian antarabangsa seperti CEDAW dan SDG.
  • UN Women melancarkan Beijing plus 30 Priority Actions Dashboard sebagai platform digital untuk menjejak komitmen kerajaan secara masa nyata, memastikan akauntabiliti dan ketelusan dalam multilateralisme.


Dilancarkan oleh UN Women pada Jumaat, "Beijing+30 Priority Actions Dashboard" menampilkan komitmen kerajaan terhadap hak wanita dan membuktikan bahawa kesamaan jantina kekal sebagai pemangkin perpaduan dalam multilateralisme, lapor Xinhua.

Menjelang Minggu Peringkat Tinggi Sesi ke-80 Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA), dunia menegaskan kembali bahawa kesamaan jantina adalah asas kepada keamanan, keadilan dan hak asasi untuk semua, menurut kenyataan UN Women.

"Tindakan memperjuangkan hak wanita dan gadis ini menegaskan satu kebenaran penting: kesamaan jantina kekal sebagai kuasa penyatuan dunia.

"Dan multilateralisme masih komited untuk mewujudkan dunia yang setara bagi semua wanita dan gadis," kata Pengarah Eksekutif UN Women, Sima Bahous.

Menurut UN Women, satu daripada tiga komitmen yang dikemukakan oleh 106 kerajaan itu menumpukan kepada usaha menamatkan keganasan terhadap wanita dan gadis, manakala 46 kerajaan secara jelas berlandaskan perjanjian antarabangsa seperti Konvensyen Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Terhadap Wanita (CEDAW) dan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG).

Komitmen lain termasuk usaha mengubah norma sosial yang diskriminasi, meningkatkan pembiayaan untuk kesamaan jantina, pengumpulan data dan akauntabiliti, serta kerjasama dengan pertubuhan feminis atau hak wanita.

Mesyuarat peringkat tinggi UNGA sempena ulang tahun ke-30 Persidangan Dunia Keempat Mengenai Wanita akan diadakan pada 22 Sept, menghimpunkan pemimpin dunia di PBB bagi peluang sekali dalam satu generasi untuk melaksanakan janji mereka kepada wanita dan gadis, 30 tahun selepas Deklarasi dan Pelan Tindakan Beijing -- perjanjian global paling berwawasan mengenai kesmaan jantina, menurut UN Women.

"Beijing+30 Priority Actions Dashboard" merupakan platform digital sehenti yang memaparkan dan menjejak komitmen sukarela kerajaan terhadap Agenda Tindakan Beijing+30, iaitu inisiatif PBB yang diterajui UN Women, dengan menyediakan data masa nyata dan terkini mengenai kedudukan negara dalam menunaikan ikrar mereka, sekali gus memastikan akauntabiliti dan ketelusan.

-- BERNAMA




#Beijing 30 Priority Actions Dashboard #106 kerajaan #kemajuan wanita dan gadis #UN Women