DUNIA

11 maut dalam nahas pesawat di Kenya

Bernama 28/10/2025 | 14:13 MYT
Sebelas orang termasuk 10 pelancong asing terbunuh awal Selasa apabila sebuah pesawat ringan terhempas di Kwale County, wilayah pesisir Kenya ketika dalam perjalanan ke Rizab Negara Maasai Mara yang terkenal di dunia. - Foto AP
NAIROBI: Sebelas orang termasuk 10 pelancong asing terbunuh awal Selasa apabila sebuah pesawat ringan terhempas di Kwale County, wilayah pesisir Kenya ketika dalam perjalanan ke Rizab Negara Maasai Mara yang terkenal di dunia, lapor Xinhua.


Ringkasan AI
  • Sebuah pesawat ringan terhempas di Kwale County, Kenya, mengorbankan 11 orang termasuk 10 pelancong asing dalam perjalanan ke Rizab Negara Maasai Mara.
  • Mangsa terdiri daripada lapan warga Hungary, dua warga Jerman dan seorang juruterbang tempatan; tiada yang terselamat.
  • Pihak berkuasa Kenya bersama wakil antarabangsa sedang menyiasat punca nahas dan pasukan bantuan keluarga telah digerakkan.


Syarikat penerbangan Mombasa Air Safari mengesahkan bahawa lapan penumpang warga Hungary dan dua warga Jerman bersama seorang juruterbang warga tempatan berada dalam pesawat dengan nombor pendaftaran 5Y-CCA, yang berlepas dari Diani, sebuah bandar peranginan popular.

"Malangnya, tiada yang terselamat," menurut syarikat itu dalam satu kenyataan, sambil memaklumkan bahawa pasukan respons kecemasan telah diaktifkan dan pihaknya bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa bagi mengenal pasti punca nahas.

Mombasa Air Safari, yang mengendalikan penerbangan berjadual dan sewa khas ke beberapa destinasi pelancongan di seluruh Kenya, turut menyatakan "dukacita mendalam" dan menubuhkan pasukan bantuan keluarga bagi menyediakan kaunseling serta sokongan logistik kepada waris mangsa.

Pasukan penyelamat daripada Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Kenya, Palang Merah Kenya dan pihak berkuasa tempatan digerakkan ke lokasi nahas sejurus selepas kejadian dilaporkan.

Serpihan bangkai pesawat ditemukan bertaburan di kawasan berbukit di Kwale, tempat pasukan kecemasan berusaha mengeluarkan mayat mangsa dan mengawal lokasi kejadian.

Pihak berkuasa penerbangan Kenya memaklumkan bahawa siasatan bersama telah dilancarkan dengan penyertaan wakil dari Hungary, Jerman dan pengeluar pesawat berkenaan bagi menentukan punca kemalangan itu.

-- BERNAMA




#pesawat terhempas #Kenya #Kwale County #Pelancong asing