DUNIA

11 maut dalam nahas pesawat UPS di Kentucky, enjin tercabut ketika berlepas

Agensi 05/11/2025 | 22:50 MYT
Kepulan asap tebal kelihatan dari kawasan nahas pesawat kargo UPS di Lapangan Terbang Antarabangsa Muhammad Ali, Louisville, pada Selasa, 4 November 2025. - Gambar AP
KENTUCKY (AMERIKA SYARIKAT): Sekurang-kurangnya 11 orang terkorban selepas sebuah pesawat kargo milik UPS terhempas ketika berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Muhammad Ali, Louisville, pada petang Selasa.

Gabenor Kentucky, Andy Beshear berkata, angka korban dijangka meningkat dan dipercayai melibatkan sekurang-kurangnya seorang kanak-kanak.

Pesawat tersebut meletup sejurus berlepas sekitar jam 5.15 petang waktu tempatan (10.15 malam GMT).

Menurut Lembaga Keselamatan Pengangkutan Kebangsaan (NTSB), enjin kiri pesawat terbakar dan tercabut dari sayap semasa proses berlepas, menyebabkan kebakaran besar dan kepulan asap tebal memenuhi ruang udara.

Sejumlah individu turut cedera termasuk akibat terbakar, terkena serpihan logam dan terhidu asap.

Pihak berkuasa memaklumkan, mangsa yang terselamat mengalami kecederaan serius dan operasi mencari mangsa yang masih hilang sedang giat dijalankan.

Beshear turut mengesahkan, tiga anak kapal dipercayai antara yang terkorban.

Siasatan awal sedang dijalankan namun punca sebenar nahas masih belum dikenal pasti.

Rakaman CCTV menunjukkan enjin kiri pesawat tercabut semasa pesawat sedang memecut di landasan.

Pesawat sempat terangkat dan melepasi pagar lapangan terbang sebelum merempuh beberapa premis perniagaan berhampiran.

Pasukan penyiasat telah menemui perakam suara kokpit dan perakam data penerbangan (kotak hitam) untuk dianalisis.

Gabenor Beshear telah mengisytiharkan darurat negeri bagi mempercepatkan pengagihan sumber melalui Agensi Pengurusan Kecemasan dan Pengawal Kebangsaan Kentucky.

Datuk Bandar Louisville, Craig Greenberg memaklumkan, landasan lapangan terbang telah dibuka semula bagi membolehkan penerbangan disambung.

Sekurang-kurangnya 16 keluarga melaporkan kehilangan orang tersayang, termasuk dua pekerja di sebuah bengkel kenderaan yang turut terjejas.

Jumlah pelanggan yang berada di premis ketika kejadian masih belum diketahui.

Pesawat tersebut membawa 38,000 gelen (144,000 liter) bahan api untuk penerbangan sejauh 6,920 kilometer ke Hawaii.

Kebakaran besar yang tercetus menyebabkan kawasan sekitar kelihatan seperti “hujan minyak”, menurut wakil Kongres Kentucky, Morgan McGarvey.

Letupan turut memusnahkan sekurang-kurangnya dua premis berhampiran, termasuk syarikat kitar semula petroleum.

Arahan “berlindung di tempat” dikeluarkan dalam radius lima batu dari lapangan terbang, sebelum dikurangkan kepada satu batu selepas api berjaya dikawal.

Ketua Jabatan Bomba Louisville, Brian O’Neal menyifatkan tumpahan bahan api sebagai “situasi yang sangat berbahaya.”

Ketua Polis Louisville, Paul Humphrey berkata, lokasi nahas akan kekal sebagai kawasan aktif selama beberapa hari dan belum dapat dipastikan bila ia akan selamat untuk siasatan penuh dijalankan.
Model pesawat dan kenyataan syarikat

Pesawat jenis MD-11F itu mula beroperasi sebagai pesawat penumpang bersama Thai Airways 34 tahun lalu sebelum diserap ke dalam armada UPS pada 2006.

Ia dibina oleh McDonnell Douglas sebelum syarikat itu bergabung dengan Boeing pada 1997.

FedEx dan UPS sebelum ini mengumumkan rancangan untuk memulakan proses persaraan pesawat MD-11 dalam dekad akan datang sebagai sebahagian daripada usaha memodenkan armada.

Dalam kenyataan rasmi, Boeing menyatakan komitmen untuk membantu siasatan dan menyokong pelanggan mereka.

UPS pula menyatakan rasa sedih mendalam terhadap insiden tersebut dan menghentikan operasi penyusunan bungkusan di pusat utama mereka, Worldport, pada malam kejadian. - Agensi



#pesawat kargo UPS #Kentucky #pesawat terhempas #Lapangan Terbang Antarabangsa Muhammad Ali