DUNIA

11 terbunuh, 14 cedera dalam insiden tembakan di Pretoria, Afrika Selatan

Bernama 06/12/2025 | 12:16 MYT
Seramai 11 orang terbunuh manakala 14 lagi cedera dalam insiden tembakan awal pagi Sabtu di sebuah hostel di Pretoria, ibu negara pentadbiran Afrika Selatan. - Foto hiasan
JOHANNESBURG: Seramai 11 orang terbunuh manakala 14 lagi cedera dalam insiden tembakan awal pagi Sabtu di sebuah hostel di Pretoria, ibu negara pentadbiran Afrika Selatan, lapor Xinhua memetik polis tempatan.

Jurucakap Perkhidmatan Polis Afrika Selatan (SAPS) Brigedier Athlenda Mathe berkata 10 mangsa maut di lokasi kejadian di Saulsville, Atteridgeville, manakala seorang lagi meninggal dunia akibat kecederaan ditembak ketika dirawat di hospital. Empat belas mangsa lain sedang menerima rawatan perubatan.

Mangsa turut merangkumi seorang kanak-kanak berusia tiga tahun dan dua remaja berusia 12 dan 16 tahun, katanya.

Menurut SAPS, kejadian berlaku sekitar 4.15 pagi waktu tempatan (0215 GMT) apabila sekurang-kurangnya tiga lelaki bersenjata yang tidak dikenali menceroboh bangunan itu dan melepaskan tembakan secara rambang.

Pihak berkuasa belum mengesahkan motif serangan tersebut. SAPS berkata siasatan rapi sedang dijalankan dan menggesa penduduk supaya berwaspada sementara polis meneruskan usaha mengesan para suspek.

-- BERNAMA

#tembakan #Pretoria #Afrika Selatan #Saulsville Atteridgeville