Pasukan penyelamat memulakan operasi mencari mangsa yang terlibat dalam insiden runtuhan salji di Gunung Everest.

Insiden berkenaan telah menyebabkan sekurang-kurangnya 12 orang pemandu pelancong warga Nepal maut.

Empat lagi dari etnik Sherpa dipercayai masih hilang sejak kejadian pada Jumaat itu.

Mangsa-mangsa adalah terdiri daripada sekumpulan besar etnik Sherpa yang dalam perjalanan dari bes kem Everest dengan membawa barang keperluan seperti khemah, tali dan makanan dalam penyediaan sebelum musim mendaki gunung bulan April.

Pegawai Kementerian Pelancongan Nepal Dipendra Paudel berkata, pasukan pencari sedang cuba mengesan beberapa mayat yang tertimbus oleh salji.

“Peluang untuk hidup bagi empat lelaki yang dicari dalam insiden ini mungkin tiada, mereka sudah tertimbus di bawah salji lebih dari 24 jam” kata Paudel kepada AFP.

“Kami berharap agar mayat mereka ditemui, namun kami tidak dapat mengesahkan kematian 16 mangsa tersebut, sehingga penemuan dibuat” katanya lagi.

Runtuhan salji berlaku pada altitude 5,800 meter (19,000 kaki).

Kemalangan sebelum ini di gunung tertinggi di dunia itu berlaku pada 1996 yang telah menyebabkan lapan maut kerana ribut salji.

Setakat ini lebih dari 300 orang yang kebanyakannya adalah pemandu pelancong warga tempatan telah maut ketika mendaki gunung Everest sejak tahun 1953.

Kerajaan Nepal telah mengeluarkan permit kepada 734 orang termasuk 400 pemandu pelancong untuk aktiviti mendaki Gunung Everest pada musim panas ini.