Sabah Memilih: Senarai Calon Rasmi Diumum, Kempen Pilihan Raya Bermula – Ikuti Berita Terkini dari Setiap Lokasi!
DUNIA

12 mayat ditemui, Indonesia lanjut operasi cari mangsa tanah runtuh Banjarnegara

Bernama 23/11/2025 | 11:15 MYT
Basarnas telah melanjutkan operasi selama tiga hari lagi kerana 16 orang masih hilang seminggu selepas bencana pada 15 Nov. - Gambar/ FB bpbd_banjarnegara
JAKARTA: Indonesia melanjutkan operasi mencari dan menyelamat di lokasi tanah runtuh di Banjarnegara, Jawa Tengah selepas dua lagi mayat ditemui, menjadikan jumlah korban meningkat kepada 12 orang, menurut Badan Pengurusan Bencana Nasional (BNPB) pada Ahad.

Jurucakap agensi itu Abdul Muhari berkata BNPB dan Agensi Mencari dan Menyelamat Kebangsaan (Basarnas) telah melanjutkan operasi selama tiga hari lagi kerana 16 orang masih hilang seminggu selepas bencana pada 15 Nov.

"Pasukan penyelamat bekerja di tiga sektor berikutan keadaan tanah yang tidak stabil dan perubahan cuaca yang menjejaskan operasi di Kampung Pandanarum," katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata langit yang lebih cerah pada Sabtu membolehkan pasukan penyelamat memperhebat pencarian di darat, manakala pesawat Cessna Caravan yang dikendalikan BNPB melakukan penerbangan modifikasi cuaca dengan menyebarkan kalsium oksida (CaO) bagi mengurangkan risiko hujan.

"Gabungan strategi darat dan udara ini penting untuk mengekalkan usaha respons kecemasan," tambah Abdul Muhari.

-- BERNAMA



#tanah runtuh Indonesia #tanah runtuh Banjarnegara #angka korban #jumlah mangsa