DUNIA

12 negara sepakat laksana enam langkah kekang serangan Israel

Astro Awani 17/07/2025 | 00:00 MYT
Komitmen ini menandakan berakhirnya era kekebalan dan bermulanya tindakan kolektif oleh kerajaan yang berprinsip. - Foto REUTERS
BOGOTA: Negara-negara anggota The Hague Group melibatkan 12 buah negara sepakat menuntut pertanggungjawaban terhadap kekejaman Israel di Gaza termasuk menyekat pemindahan senjata kepada rejim Zionis.


Ringkasan AI
  • 12 negara anggota The Hague Group bersatu menuntut pertanggungjawaban atas kekejaman Israel di Gaza, termasuk sekatan pemindahan senjata ke rejim Zionis.
  • Mesyuarat dua hari di Bogota menghasilkan enam langkah termasuk larangan kapal senjata ke Israel, semakan kontrak awam, dan sokongan terhadap bidang kuasa sejagat untuk jenayah antarabangsa.
  • Sejak Oktober 2023, lebih 58,000 rakyat Palestin telah terbunuh akibat tindakan Israel termasuk pengusiran dan sekatan bekalan asas seperti makanan, air dan bahan api.


Pengumuman itu dibuat semasa penutupan mesyuarat dua hari di ibu negara Colombia, Bogota, yang menyaksikan kesemua negara terlibat bersetuju melaksanakan enam langkah bagi mengekang serangan Israel ke atas Gaza.

Antara negara yang menyertai termasuk Bolivia, Colombia, Cuba, Indonesia, Iraq, Libya, Malaysia, Namibia, Nicaragua, Oman, Saint Vincent and the Grenadines serta Afrika Selatan.

Setiausaha Eksekutif The Hague Group, Varsha Gandikota-Nellutla, kumpulan yang menganjurkan sidang kemuncak tersebut berkata, pihaknya percaya kepada kepimpinan dan bukan permohonan.

Tambah beliau, komitmen ini menandakan berakhirnya era kekebalan dan bermulanya tindakan kolektif oleh kerajaan yang berprinsip.

Antara langkah yang diumumkan termasuk penafian bekalan senjata kepada Israel, larangan kapal yang membawa senjata ke Israel, semakan kontrak awam bagi mengenal pasti kaitan dengan syarikat yang mendapat manfaat daripada penjajahan Israel dan sokongan terhadap mandat bidang kuasa sejagat untuk mendakwa jenayah antarabangsa serius tanpa mengira lokasi kejadian.

Israel dilaporkan terus mengusir rakyat Palestin serta menyekat akses mereka kepada makanan, bahan api dan air sejak Oktober 2023 yang mana sekurang-kurangnya 58,573 rakyat Palestin telah terbunuh.






#Afrika Selatan #Zionis #Israel #The Hague Group