INTERNATIONAL
12 orang awam terbunuh dalam serangan meriam RSF di Darfur, Sudan

RSF dilaporkan melakukan jenayah terbaharu dengan menyerang kawasan utara dan selatan El-Fasher secara rambang. - Operation Broken Silence
KHARTOUM: Sekurang-kurangnya 12 orang awam terbunuh manakala tujuh lagi cedera dalam serangan meriam terbaharu oleh pasukan separa tentera Rapid Support Forces (RSF) di El-Fasher, ibu negeri Wilayah Darfur Utara di barat Sudan, menurut kenyataan tentera pada Rabu, lapor Agensi Ajansi (AA).
Kenyataan itu memaklumkan pasukan tentera berjaya mematahkan serangan RSF ke atas bandar berkenaan Selasa malam, membunuh dan mencederakan puluhan anggota RSF serta memusnahkan tiga kenderaan.
"RSF melakukan jenayah terbaharu dengan menyerang kawasan utara dan selatan El-Fasher secara rambang, menyebabkan 12 orang awam terbunuh, termasuk wanita dan kanak-kanak," menurut kenyataan itu.
Tiada maklum balas daripada pihak pemberontak berhubung dakwaan itu.Pada Selasa, RSF menggesa tentera Sudan dan sekutunya menyerah diri dan keluar dari bandar berkenaan.
El-Fasher menyaksikan pertempuran sengit antara tentera Sudan dan RSF sejak Mei 2024, meskipun amaran antarabangsa telah dikeluarkan mengenai kesan buruk konflik terhadap bandar yang menjadi pusat operasi kemanusiaan bagi kelima-lima Wilayah Darfur itu.
Awal bulan ini, RSF mendakwa telah menguasai Kem Pelarian Zamzam di bandar itu selepas bertempur dengan pasukan tentera.
Menurut angka Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), sekurang-kurangnya 400 orang awam terbunuh manakala hampir 400,000 lagi kehilangan tempat tinggal akibat pertempuran itu.
Sejak 15 April 2023, RSF berperang dengan tentera Sudan bagi menguasai negara itu, mengakibatkan ribuan kematian serta mencetuskan satu daripada krisis kemanusiaan terburuk di dunia.
Lebih 20,000 orang dilaporkan terbunuh setakat ini dan 15 juta lagi terpaksa berpindah, menurut PBB dan pihak berkuasa tempatan. Namun, penyelidikan oleh sarjana dari Amerika Syarikat menganggarkan angka korban sebenar mencecah sekitar 130,000 orang.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami