13 maut rusuhan di penjara Ecuador

Bernama
Julai 19, 2022 13:46 MYT
Sistem penjara Ecuador dilanda krisis yang serius akibat konfrontasi antara kumpulan pengedar dadah. - Gambar hiasan/ Reuters
QUITO (Ecuador): Rusuhan di penjara Santa Domingo pada Isnin menyebabkan sekurang-kurangnya 13 banduan terbunuh dan dua lagi cedera, susulan pergaduhan sesama banduan di dalam penjara itu, lapor Xinhua.
Anggota polis dan tentera serta kementerian kesihatan awam telah dikerah untuk mengawal keadaan dan memberi rawatan, menurut Perkhidmatan Penjagaan Komprehensif Kebangsaan bagi Tahanan dalam satu laporan.
Penjara yang sama pernah dilanda keganasan pada 9 Mei lepas, sehingga mengakibatkan 44 banduan terbunuh.
Sistem penjara Ecuador dilanda krisis yang serius akibat konfrontasi antara kumpulan pengedar dadah.
Tahun lalu, negara itu menyaksikan pertempuran berdarah di penjara hingga mengakibatkan lebih 300 banduan maut.
Kerajaan telah mengisytiharkan tindakan tegas terhadap kesalahan mengedar dadah.
-- BERNAMA
#rusuhan penjara #banduan maut #penjara Ecuador #pengedar dadah