[TERKINI] Mohd Khalid Dilantik Ketua Polis Negara ke-15 – Ikuti Laporan Penuh di Sini
INTERNATIONAL

13 pekerja lombong dibunuh kumpulan penjenayah di Peru

Astro Awani 05/05/2025 | 00:50 MYT
Rakaman video yang didakwa dirakam oleh penculik menunjukkan mangsa ditembak pada jarak dekat. - Gambar hiasan
LIMA: Seramai 13 pekerja lombong emas di Peru ditemui mati selepas diculik oleh kumpulan penjenayah yang cuba menguasai lombong tersebut, menurut laporan pihak berkuasa.
Mangsa bekerja di lombong milik syarikat perlombongan Peru, La Poderosa, yang terletak di wilayah Pataz, utara ibu kota Lima.
Mereka telah dihantar untuk berunding dengan kumpulan pelombong haram yang beroperasi di kawasan itu tetapi akhirnya diculik oleh kumpulan bersenjata.
Menurut laporan media tempatan, penculik menahan mangsa di dalam terowong lombong selama beberapa hari dan menghantar mesej ugutan kepada keluarga mereka sebelum akhirnya membunuh kesemua 13 individu.
Rakaman video yang didakwa dirakam oleh penculik menunjukkan mangsa ditembak pada jarak dekat.
Pada Jumaat lepas, syarikat La Poderosa mengkritik pihak berkuasa kerana gagal menangani peningkatan keganasan di kawasan perlombongan.
“Keadaan semakin tidak terkawal, dan pihak polis tidak mengambil tindakan yang mencukupi untuk menghalang aktiviti perlombongan haram,” kata syarikat itu dalam satu kenyataan.
Sejak 2020, kumpulan penjenayah yang bekerjasama dengan pelombong haram telah menyerang beberapa lombong milik La Poderosa, menyebabkan syarikat itu terpaksa menghentikan operasi di beberapa lokasi.
Pada Mac lalu, dua kontraktor syarikat terbunuh dalam serangan berhampiran kawasan La Ciénaga, manakala menara elektrik yang membekalkan tenaga ke lombong turut diletupkan.
Peru merupakan salah satu pengeluar emas terbesar di dunia, dengan lebih 100 tan emas dilombong setiap tahun.
Namun, peningkatan aktiviti perlombongan haram dan jenayah terancang telah menimbulkan kebimbangan terhadap keselamatan pekerja dan kestabilan industri perlombongan negara itu.
Pihak berkuasa kini sedang menyiasat insiden ini dan berusaha untuk menangkap mereka yang bertanggungjawab.
#pekerja lombong #culik #lombong emas #kumpulan penjenayah