Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 – Trump & Pemimpin Serantau Berhimpun – Sorotan, Video & Analisis – Ikuti Di Sini
DUNIA

13 terbunuh dalam nahas bas dan kereta di wilayah Misiones, Argentina

Bernama 27/10/2025 | 01:50 MYT
Insiden itu berlaku di Lebuhraya Kebangsaan 14 pada kilometer 892 apabila bas milik syarikat Sol del Norte yang membawa kira-kira 50 penumpang dari Obera bertembung dengan sebuah kereta yang datang dari arah bertentangan. - Foto X Alerta News 24
BUENOS AIRES: Sekurang-kurangnya 13 orang maut apabila sebuah bas dua tingkat bertembung dengan sebuah kereta di wilayah timur laut Misiones, Argentina pada Ahad, lapor Xinhua yang memetik media tempatan dan pihak berkuasa.

Kerajaan wilayah Misiones memaklumkan, kemalangan berlaku sekitar 4.30 pagi waktu tempatan di sebuah jambatan dalam keadaan kabus tebal, menyebabkan bas yang membawa penumpang dari bandar Obera menuju ke Puerto Iguazu terjunam ke dalam sungai.

"Insiden awal pagi tadi berlaku di Lebuhraya Kebangsaan 14 pada kilometer 892 apabila bas milik syarikat Sol del Norte yang membawa kira-kira 50 penumpang dari Obera bertembung dengan sebuah kereta yang datang dari arah bertentangan," menurut kenyataan kerajaan Misiones.

Menteri Kesihatan Misiones, Hector Gonzalez, berkata kira-kira 30 mangsa dihantar ke hospital untuk menerima rawatan, dan beberapa daripadanya telah dibenarkan keluar.

-- BERNAMA


#13 maut #nahas bas dan kereta #wilayah Misiones Argentina #bas terjunam