DUNIA

14 anggota Majlis Keselamatan PBB gesa gencatan senjata di Gaza

Bernama 28/08/2025 | 07:15 MYT
Anggota Majlis Keselamatan PBB kecuali Amerika Syarikat (AS) menggesa gencatan senjata segera di Gaza. - Foto Reuters
NEW YORK: Anggota Majlis Keselamatan PBB kecuali Amerika Syarikat (AS) pada Rabu menggesa gencatan senjata segera serta pembatalan keputusan Israel untuk memperluas operasi ketenteraan di Gaza, lapor Xinhua.


Ringkasan AI
  • 14 anggota Majlis Keselamatan PBB, kecuali Amerika Syarikat, menggesa gencatan senjata segera dan pembatalan operasi ketenteraan Israel di Gaza yang didakwa memburukkan krisis kemanusiaan.
  • Negara-negara tersebut menuntut Israel membuka laluan bantuan kemanusiaan dan mematuhi undang-undang antarabangsa, sambil menyatakan kebuluran di Gaza sebagai krisis buatan manusia.
  • Kenyataan bersama itu menekankan keperluan tindakan segera untuk menghentikan kebuluran dan melindungi nyawa orang awam serta tawanan yang terjejas akibat konflik.


"Kami menggesa gencatan senjata segera, tanpa syarat dan berkekalan. Kami menggesa pembebasan segera, bermaruah dan tanpa syarat semua tawanan yang ditahan Hamas dan kumpulan lain. Kami juga menyeru peningkatan besar bantuan kemanusiaan di seluruh Gaza," menurut 14 negara itu dalam kenyataan bersama.

Kesemua 14 negara itu turut menggesa Israel agar segera membatalkan keputusannya untuk memperluas lagi operasi ketenteraan di Gaza dengan tujuan menduduki Bandaraya Gaza.

"Keputusan ini yang kami tolak, sudah pasti akan memburukkan lagi situasi kemanusiaan yang sudah teruk serta membahayakan nyawa semua orang awam termasuk tawanan," menurut kenyataan itu yang dibacakan oleh Timbalan Wakil Tetap Guyana ke PBB Trishala Simantini Persaud dan Timbalan Wakil Tetap Slovenia ke PBB Ondina Blokar Drobic.

14 negara itu ialah Algeria, China, Denmark, Perancis, Greece, Guyana, Pakistan, Panama, Republik Korea, Rusia, Sierra Leone, Slovenia, Somalia dan United Kingdom.

Negara-negara berkenaan menegaskan bahawa Israel mesti segera dan tanpa syarat menarik balik semua sekatan terhadap penghantaran bantuan, termasuk membuka semua laluan darat serta membenarkan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dan rakan kongsi kemanusiaan beroperasi dengan selamat dan secara menyeluruh.

Mereka berkata prinsip kemanusiaan iaitu perikemanusiaan, keneutralan, kesaksamaan dan kebebasan mesti menjadi teras kepada tindakan kemanusiaan.

"Keadaan ini amat mendesak. Kecemasan kemanusiaan ini mesti ditangani tanpa berlengah dan Israel mesti mengubah haluan," menurut kenyataan itu.

Kenyataan bersama itu dikeluarkan selepas Majlis Keselamatan mengadakan taklimat bulanan mengenai Timur Tengah, termasuk isu Palestin, dalam konteks bahawa Jawatankuasa Semakan Kebuluran Klasifikasi Fasa Keselamatan Makanan Bersepadu pada Jumaat lepas mengesahkan bahawa kebuluran kini sedang berlaku di wilayah Gaza dan dijangka merebak ke wilayah Deir al-Balah dan Khan Younis di Semenanjung Gaza menjelang akhir September.

Kesemua 14 negara itu turut menyuarakan kebimbangan dan dukacita mendalam terhadap hakikat bahawa kebuluran kini telah disahkan secara rasmi di Gaza.

"Ini adalah krisis buatan manusia. Penggunaan kebuluran sebagai senjata perang jelas dilarang di bawah undang-undang kemanusiaan antarabangsa," menurut kenyataan itu. "Kebuluran di Gaza mesti dihentikan segera. Undang-undang kemanusiaan antarabangsa mesti dipatuhi."

-- BERNAMA



#Majlis Keselamatan PBB #gencatan senjata #Gaza #Israel #bantuan kemanusiaan