DUNIA

15 maut, 19 cedera bas penumpang jatuh gaung di Guatemala

Astro Awani 28/12/2025 | 03:50 MYT
Mayat mangsa bas penumpang terjunam ke gaung di Totonicapán ditutup sebelum dibawa ke hospital untuk proses selanjutnya. -Foto Reuters/Jabatan Bomba Sukarela CVB
GUATEMALA CITY: Sekurang-kurangnya 15 maut manakala 19 lagi cedera selepas sebuah bas penumpang dinaiki mereka terjunam ke gaung di Lebuh Raya Inter-Amerika di barat Guatemala pada Sabtu, menurut pihak berkuasa tempatan.


Ringkasan AI
  • Bas penumpang terjunam di Guatemala, 15 maut dan 19 cedera, termasuk kanak-kanak, insiden berlaku di kawasan pergunungan berbahaya Cumbre de Alaska.
  • Mangsa cedera dikejarkan ke hospital, pihak berkuasa sedang menyiasat punca sebenar kemalangan.
  • Presiden Guatemala arahkan siasatan menyeluruh, ingatkan orang ramai berhati-hati ketika melalui kawasan pergunungan yang berbahaya.

Klik di sini untuk FAQ berkaitan artikel ini

Jurucakap Jabatan Bomba Sukarela, Leandro Amado, berkata mangsa yang terkorban terdiri daripada 11 lelaki, tiga wanita dan seorang kanak-kanak.

Kesemua mangsa cedera telah dikejarkan ke hospital berhampiran untuk rawatan lanjut.

Insiden berlaku di kawasan pergunungan Cumbre de Alaska dalam Jabatan Sololá, antara kilometer 172 dan 174, yang terkenal dengan keadaan jalan berbahaya serta kabus tebal yang sering mengurangkan jarak penglihatan pemandu.

Menurut laporan media tempatan, bas berkenaan dalam perjalanan dari Guatemala City menuju ke San Marcos sebelum hilang kawalan dan terjunam ke gaung yang dalam.

Punca sebenar kemalangan masih dalam siasatan pihak berkuasa.

Gambar yang dikongsi oleh pasukan penyelamat menunjukkan keadaan bas yang remuk teruk di dasar gaung, manakala anggota bomba dan paramedik dilihat berusaha menyelamatkan mangsa serta mengangkat mayat dari lokasi kejadian.

Pihak berkuasa turut mengingatkan orang ramai agar berhati-hati ketika melalui kawasan pergunungan yang sering diselubungi kabus, terutamanya pada musim hujan yang meningkatkan risiko kemalangan jalan raya.

Sementara itu, Presiden Guatemala menyampaikan ucapan takziah kepada keluarga mangsa dan mengarahkan siasatan menyeluruh dijalankan bagi mengenal pasti punca kejadian serta langkah pencegahan bagi mengelakkan tragedi seumpama ini berulang.








Fakta Segera: Jawapan Pantas Dari AI
  • Q: Berapakah jumlah mangsa yang dilaporkan terkorban akibat kemalangan bas di Lebuh Raya Inter-Amerika, Guatemala?
    A: Sekurang-kurangnya 15 orang maut dalam kemalangan tersebut.
  • Q: Di kawasan manakah kemalangan bas berlaku di Guatemala?
    A: Kemalangan berlaku di kawasan pergunungan Cumbre de Alaska dalam Jabatan Sololá.
  • Q: Apakah punca kemalangan bas yang mengakibatkan kematian dan kecederaan mangsa?
    A: Punca sebenar kemalangan masih dalam siasatan oleh pihak berkuasa.
  • Q: Apa arahan yang dikeluarkan oleh Presiden Guatemala berhubung dengan insiden kemalangan bas tersebut?
    A: Presiden Guatemala mengarahkan siasatan menyeluruh dijalankan bagi mengenal pasti punca kejadian serta langkah pencegahan bagi mengelakkan tragedi serupa berulang.
  • Q: Bagaimanakah keadaan jalan di kawasan Cumbre de Alaska yang menjadi lokasi kemalangan bas tersebut?
    A: Kawasan tersebut terkenal dengan keadaan jalan berbahaya serta kabus tebal yang sering mengurangkan jarak penglihatan pemandu.



#bas penumpang #Guatemala #terjunam ke gaung #Cumbre de Alaska