Seramai 15 orang maut disebabkan komplikasi akibat gelombang panas yang melanda wilayah timur Kanada pada hujung minggu, lapor agensi berita Xinhua, memetik CTV pada Rabu.

Semua kematian dilaporkan di bandar Montreal, di mana suhu mencecah hingga 40 darjah Celsius dan gelombang panas dijangka berterusan sehingga Jumaat.

Pihak berkuasa bandar Montreal menggesa penduduk mengambil langkah berjaga-jaga untuk mengelakkan penyakit berkaitan dengan haba.

Pegawai bomba juga akan menjalankan pemeriksaan ke atas penduduk yang mempunyai risiko kesihatan, selain menubuhkan pusat penyejukan di kawasan bandar.

Bahagian Ontario Selatan turut dilanda cuaca panas melampau. Semasa sambutan Hari Kanada, indeks kelembapan di Ottawa berada pada 47 darjah Celsius dan yang tertinggi dicatatkan.

Pada Selasa, bandar Montreal melancarkan pelan untuk berdepan cuaca melampau termasuk mengedarkan air minuman kepada kumpulan yang bertugas mengendalikan golongan kelandangan.

Sementara itu, suhu di Toronto, bandar terbesar di Kanada, mencecah 30 darjah Celsius setiap hari sejak Jumaat. Gelombang panas turut melanda wilayah Atlantik.

Amaran gelombang panas dikeluarkan di Halifax selepas Nova Scotia mencatatkan suhu 30 darjah Celsius.

--BERNAMA