DUNIA

15,000 ekor ketam diselamatkan selepas lori terbalik

Astro Awani 14/01/2026 | 00:20 MYT
Pasukan penyelamat seramai 10 orang bekerja dari jam 1 tengah hari Isnin hingga 5 pagi Selasa bagi menyelamatkan muatan berkenaan. - Foto X/Donegal Daily
KIRA-kira 15,000 ekor ketam berjaya diselamatkan selepas lori yang membawa muatan tersebut terbalik ke dalam sebuah ladang di Inishowen, County Donegal, Ireland.

Ketam-ketam berkenaan, yang dianggarkan bernilai sekitar €60,000 (RM284,000) dan dalam perjalanan ke kedai serta restoran di Portugal, bertaburan selepas bekas aluminium pecah akibat kemalangan berhampiran Carrickmaquigley di Redcastle, sekitar jam 7.30 pagi waktu tempatan pada Isnin.

Susulan kejadian itu, jalan antara Quigley’s Point dan Moville terpaksa ditutup selama 18 jam bagi membolehkan operasi pemulihan besar-besaran dijalankan.

Operasi tersebut melibatkan penggunaan lampu limpah waktu malam dan sebuah kren hidraulik.

Pemandu lori dilaporkan tidak mengalami sebarang kecederaan.

Selain ketam, beberapa udang kara dan tiram turut berada dalam muatan tersebut.

Kesemua hasil laut itu ditangkap oleh nelayan di Lough Foyle dan sedang dalam perjalanan dari Greencastle ke Rosslare Port, County Wexford, ketika kemalangan berlaku.

Menurut laporan yang pertama kali disiarkan oleh laman web Donegal Daily, syarikat McLaughlin's Light and Heavy Recovery Services telah dihubungi oleh sebuah syarikat di Portugal untuk membantu memuatkan semula bekas dan mengeluarkan lori dari kawasan ladang.

Pengarah syarikat itu, Odhran McLaughlin, menyifatkan kejadian tersebut sebagai antara panggilan kerja paling luar biasa pernah diterima pihaknya.

“Ia sesuatu yang tidak pernah kami hadapi sebelum ini,” katanya kepada BBC News.

Beliau berkata satu pasukan penyelamat seramai 10 orang bekerja dari jam 1 tengah hari Isnin hingga 5 pagi Selasa bagi menyelamatkan muatan berkenaan.

Keutamaan diberikan kepada “kargo berharga” itu, dengan kakitangan bertungkus-lumus memasukkan semula krustasia ke dalam beg dan memastikan ia disejukkan.

Menurut McLaughlin, kira-kira 95 peratus daripada ketam yang bertaburan berjaya diselamatkan dan kemudiannya dihantar meneruskan perjalanan ke Portugal.









#Nahas #Lori #ketam #terbalik