16 maut ketika gelombang cuaca beku berpanjangan di New York

Seorang penduduk membersihkan salji dari kenderaannya di New York, Amerika Syarikat. - Foto REUTERS
NEW YORK: Seramai 16 orang dilaporkan maut di luar bangunan ketika gelombang cuaca beku berpanjangan melanda New York, kata Datuk Bandar Zohran Mamdani pada Isnin.
Menurut Mamdani, bandar itu kini memasuki hari ke-11 berturut-turut dengan suhu di bawah 0 darjah Celsius, menjadikannya antara tempoh cuaca beku terpanjang dalam sejarah New York.
Salji yang mengeras menjadi ais serta angin sejuk meningkatkan risiko kepada penduduk rentan yang terdedah kepada cuaca ekstrem.
Daripada 16 kematian tersebut, siasatan awal menunjukkan hipotermia memainkan peranan dalam 13 kes, manakala tiga lagi dipercayai berpunca daripada pengambilan dadah berlebihan.
Punca sebenar kematian masih menunggu keputusan pejabat pemeriksa perubatan, katanya.
“Setiap kehilangan nyawa ini adalah satu tragedi,” kata Mamdani, sambil menegaskan usaha akan diteruskan bagi membawa orang ramai ke tempat perlindungan ketika cuaca sejuk berlarutan.
Beliau menambah bahawa tiada seorang pun daripada mereka yang meninggal dunia tinggal di khemah gelandangan ketika kejadian.
New York kekal di bawah perintah kecemasan 'Code Blue', yang membolehkan operasi bantuan dan tempat perlindungan diperluaskan.
Mamdani menggesa orang ramai menghubungi talian 311 sekiranya melihat individu memerlukan bantuan, sambil menegaskan polis, bomba dan pasukan bantuan akan bertindak segera.
Pihak berkuasa tempatan turut meningkatkan kapasiti pusat perlindungan, melonggarkan syarat kemasukan serta memperluaskan operasi bantuan di kelima-lima daerah.
Sejak gelombang sejuk bermula, lebih 930 orang telah ditempatkan di pusat perlindungan dan 'safe haven', manakala 18 individu dibawa secara paksa selepas disifatkan membahayakan diri sendiri atau orang lain.
Selain itu, bandar itu menambah 50 unit perlindungan bilik tunggal bagi mereka yang tidak selesa di pusat perlindungan berkelompok serta memperluaskan unit pemanasan bergerak kepada 20 kenderaan lengkap dengan pasukan klinikal.
Pihak berkuasa memberi amaran keadaan cuaca beku dijangka berterusan beberapa hari lagi.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


