Skip to main content

Dunia

160 petugas kesihatan di DR Congo dijangkiti Ebola, 43 maut

EBOLA
Menurut pihak berkuasa, sebanyak 5,290 kes direkodkan sejak wabak itu pertama kali dilaporkan pada Mei, dengan 2,516 kematian. - Foto fail/AP
Advertisement

GENEVA: Kira-kira 160 petugas kesihatan dijangkiti wabak Ebola di Republik Demokratik Congo, menurut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada Jumaat, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).

Julien Harneis, Penyelaras Ebola PBB di Bunia, ibu kota Wilayah Ituri berkata 43 petugas kesihatan  meninggal dunia akibat penyakit itu.

Menurut pihak berkuasa, sebanyak 5,290 kes direkodkan sejak wabak itu pertama kali dilaporkan pada Mei, dengan 2,516 kematian.

Penyakit yang mengancam nyawa itu terus merebak, kata Harneis, sambil menjelaskan bahawa lebih banyak dana diperlukan bagi meningkatkan keupayaan untuk menanganinya.

Harneis berkata pihak berkuasa menghadapi kesukaran membayar petugas yang diperlukan untuk memantau kontak individu yang dijangkiti kerana lapangan terbang di Bunia ditutup kepada penerbangan komersial, menyebabkan bank kehabisan wang tunai.

Keadaan itu menimbulkan rasa tidak puas hati yang ketara selain menyebabkan sejumlah besar wang tunai juga tidak dapat dihantar dari ibu negara ke Bunia melalui jalan darat, katanya.

Menurut Harneis, sebanyak 266 serangan terhadap kemudahan dan petugas kesihatan direkodkan di Congo dalam tempoh enam bulan lepas.

Beliau berkata penduduk berasa takut dan kecewa selepas bertahun-tahun hidup di wilayah bergolak yang dicengkam konflik dan penduduk yang melarikan diri, selain berdepan penyakit yang menggerunkan itu.

-- BERNAMA-dpa

 

 

Must Watch Video

Advertisement