NEW DELHI: Kementerian Kesihatan Uzbekistan mengesahkan 18 kanak-kanak di negara itu maut selepas mengambil ubat sirap untuk selesema yang dikeluarkan oleh pembuat ubat-ubatan India, Marion Biotech Pvt Ltd.

Memetik portal Reuters, 18 daripada 21 kanak-kanak terbabit yang meminum sirap Doc-1 Max mengalami penyakit respiratori akut dan dilaporkan meninggal dunia selepas menggunakan ubat itu.

Selepas kejadian itu, kementerian menjalankan siasatan untuk mencari punca kematian. Hasil siasatan mendapati satu kelompok sirap mengandungi Ethylene Glycol yang dimaklumkan oleh kementerian sebagai bahan toksik iaitu pencetus kes kegagalan buah pinggang.

Mengikut laman web firma berkenaan, ubat itu dipasarkan sebagai rawatan untuk gejala flu dan selesema.

Kementerian itu dalam kenyataan yang dikeluarkan kelmarin memaklumkan sirap itu diimport ke Uzbekistan oleh syarikat Quramax Medical LCC.

Menjelaskan keadaan yang berlaku terhadap kanak-kanak terbabit, Kementerian turut berkata, ubat itu diberikan tanpa preskripsi doktor sama ada oleh ibu bapa atau atas nasihat ahli farmasi.

Dos yang diambil oleh kanak-kanak berkenaan melebihi dos standard ditetapkan untuk golongan itu.

Bagaimanapun, tidak jelas sama sama ada semua atau kanak-kanak tertentu meminum sirap ubat daripada kelompok suspek atau mengambil lebih daripada ketetapan dos standard atau kedua-dua sekali.

Susulan tragedi itu, Marion Biotech, Quramax Medical dan Kementerian Kesihatan India tidak segera memberi maklumbalas terhadap permohonan Reuters untuk mendapatkan penjelasan.

Dalam pada itu, sumber kerajaan India berkata, Kementerian Kesihatan sedang meneliti perkara itu.

India kelmarin melancarkan pemeriksaan terhadap beberapa kilang ubat di seluruh negara itu, untuk memastikan pematuhan standard kualiti yang tinggi.