Sekurang-kurangnya 18 orang terbunuh, manakala 50 lagi cedera selepas sebuah kolej di Crimea, Rusia diserang seorang remaja lelaki yang meledakkan bom serta melepaskan tembakan secara rambang.

Pihak berkuasa dalam satu kenyataan hari ini menyifatkan insiden di bandar Kerch itu sebagai serangan pengganas.

Selain mengorbankan 17 mangsa yang kebanyakannya penuntut kolej, pelaku serangan itu, Vladislav Roslyakov yang berusia 18 tahun turut terbunuh.

Rakaman video di tempat kejadian juga menunjukkan pasukan tentera mengepung dan mengawal kolej tersebut.

Seorang penduduk tempatan memaklumkan, ibu bapa telah diarahkan untuk menjemput anak-anak mereka dari sekolah dan tadika.

Pengarah kolej, Olga Grebennikova berkata, mayat kanak-kanak dilihat bergelimpangan di merata-rata tempat.

Jawatankuasa Siasatan pula memberitahu, maklumat awal yang diperolehi ialah kejadian letupan bom di kafeteria kolej berkenaan.

Menurut jawatankuasa tersebut, kebanyakan mangsa adalah kanak-kanak dan remaja.

Seorang kakitangan hospital di Kerch memberitahu, setakat ini seramai 18 orang telah dimasukkan ke wad untuk mendapatkan rawatan dan dijangka 50 lagi mangsa akan dibawa masuk.

"Sekarang pun sudah ramai mangsa di bilik kecemasan, dan di bilik pembedahan," katanya seperti dipetik agensi berita TASS.

Gambar kejadian tersebut juga menunjukkan bahawa tingkap pada tingkat bawah bangunan dua tingkat itu pecah, dan serpihannya bertaburan di atas lantai.