Skip to main content

Dunia

19 bangunan runtuh di Cali, Colombia akibat gempa bumi

Rescue workers and residents stand atop a collapsed building in the aftermath of an earthquake in Cali, Colombia, August 10, 2026 in this screengrab taken from a video. REUTERS/Reuters TV
Sebanyak 19 bangunan runtuh di bandar Cali di barat Colombia akibat gempa bumi yang melanda pada Isnin. - Foto REUTERS/Reuters TV
Advertisement

BOGOTA: Sebanyak 19 bangunan runtuh di bandar Cali di barat Colombia akibat gempa bumi yang melanda pada Isnin, menurut Sputnik/RIA Novosti yang memetik laporan rangkaian radio Colombia, Blu Radio.

Menurut laporan itu, terdapat mangsa yang terperangkap di bawah runtuhan, manakala pasukan penyelamat sedang menjalankan operasi di lokasi kejadian.

Bandar Cali dan Pereira di barat Colombia turut mengalami gangguan komunikasi, menurut laporan berasingan Blu Radio, yang menyatakan orang ramai menghadapi kesukaran untuk menghubungi perkhidmatan kecemasan berikutan talian telefon sesak.

Wartawan RIA Novosti turut melaporkan gangguan komunikasi di beberapa bandar lain di negara itu, termasuk ibu negara Bogota, yang mengalami gangguan isyarat secara berkala.

Terdahulu, Pusat Seismologi Eropah-Mediterranean melaporkan bahawa gempa bumi berukuran 6.8 pada skala Richter melanda Colombia.

Pakar seismologi Eropah kemudiannya menaikkan magnitud gempa itu kepada 7.4, manakala pakar Amerika Syarikat (AS) turut memberikan penilaian yang hampir sama.

Pusat gempa dilaporkan terletak berhampiran bandar San Jose del Palmar di wilayah Choco.

-- BERNAMA-SPUTNIK/RIA NOVOSTI

 

Must Watch Video

Advertisement