DUNIA
19 maut kemalangan di Mesir, majoriti mangsa buruh remaja

Kejadian berlaku apanbila sebuah trak telah bertembung dengan sebuah van mini yang membawa para pekerja menuju ke tempat kerja.
KAHERAH: Seramai 19 orang terkorban dalam satu kemalangan jalan raya di utara Mesir pada Jumaat, kebanyakannya remaja perempuan yang bekerja sebagai buruh harian, lapor media tempatan yang dimiliki kerajaan.
Menurut laporan akhbar Akhbar Al-Youm, sebuah trak telah bertembung dengan sebuah van mini yang membawa para pekerja dari kampung mereka, Kafr Al-Sanabsa, menuju ke tempat kerja.
Kampung itu terletak di wilayah Delta Nil, kira-kira 100 kilometer di utara Kaherah.
Senarai nama dan umur mangsa yang disiarkan oleh akhbar Al-Ahram menunjukkan kebanyakan mangsa merupakan remaja termasuk dua orang yang baru berusia 14 tahun.Media tempatan menyifatkan para gadis ini sebagai “syuhada mencari rezeki harian.”
Mesir sememangnya kerap merekodkan kemalangan jalan raya berikutan penguatkuasaan undang-undang trafik yang lemah serta keadaan jalan raya yang daif.
Kemalangan seperti ini sering kali melibatkan buruh bawah umur yang menaiki kenderaan sesak, terutamanya di kawasan luar bandar.
Menurut statistik rasmi, sekurang-kurangnya 1.3 juta kanak-kanak di Mesir terlibat dalam pelbagai bentuk pekerjaan, meskipun ia melanggar undang-undang buruh negara itu. - Agensi
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami