DUNIA

19 terbunuh jet Tentera Udara Bangladesh terhempas di kawasan kolej

Bernama 21/07/2025 | 13:30 MYT
Sekurang-kurangnya 19 orang terbunuh dan lebih 100 cedera selepas sebuah pesawat latihan Tentera Udara Bangladesh (BAF) terhempas di kawasan sekolah dan kolej di Dhaka pada Isnin. - Foto AP
NEW DELHI: Sekurang-kurangnya 19 orang terbunuh dan lebih 100 cedera selepas sebuah pesawat latihan Tentera Udara Bangladesh (BAF) terhempas di kawasan sekolah dan kolej di Dhaka pada Isnin.

Jet pejuang F-7 itu terhempas di kawasan Sekolah dan kampus Kolej Milestone di Uttara, Dhaka, sekitar 1.15 tengah hari.

Menurut laporan media tempatan, jumlah mangsa yang cedera melebihi 160 orang, kebanyakannya pelajar.

"Ini merupakan detik dukacita yang mendalam bagi negara," kata Ketua Kerajaan Sementara Bangladesh, Muhammad Yunus.

Kerajaan telah mengisytiharkan hari berkabung pada Selasa.

Mangsa yang terkorban termasuk juruterbang dan ramai kanak-kanak.

Anggota daripada Tentera Darat Bangladesh, Jabatan Bomba dan Penyelamat Awam, Pengawal Sempadan Bangladesh (BGB), dan polis dikerahkan ke lokasi kejadian bagi mengeluarkan mayat serta memadamkan kebakaran.

-- BERNAMA


#Tentera Udara Bangladesh #jet terhempas #BAF #kolej di Dhaka