MANILA: Pemberontak disyaki membunuh dua anggota tentera dan mencederakan tiga yang lain, termasuk seorang kanak-kanak perempuan berusia 10 tahun, dalam pertempuran di tengah Filipina pada Jumaat, menurut tentera.

Dalam laporannya tentera berkata pertempuran tercetus antara anggota tentera dan sebilangan pemberontak New People's Army (NPA) pada kira-kira 1.30 pagi waktu tempatan, di sebuah bandar di wilayah Samar Timur, lapor Xinhua.

Pemberontak melancarkan serangan "apabila penduduk tempatan sudah tidur", kata laporan itu, sambil menambah bahawa tentera berada di kampung terbabit untuk menyelaras projek kerajaan untuk masyarakat di situ.

Pemberontak NPA memerangi kerajaan sejak 1969. Mereka menumpukan serangan di kawasan luar bandar dan pernah bertempur dengan tentera.

Data ketenteraan menunjukkan NPA dianggarkan mempunyai 2,000 anggota, jauh lebih rendah daripada kekuatan mereka semasa kemuncak pemberontakan pada 1980-an.

-- BERNAMA