Insiden Pelajar Perempuan Maut Ditikam di Sekolah - Ikuti info terkini di sini
DUNIA

20 maut dalam kebakaran bas di negeri Rajasthan, India

Bernama 15/10/2025 | 01:45 MYT
Rakaman video dikongsi di media sosial menunjukkan bas itu dijilat api dan diselubungi asap hitam tebal dalam kejadian di sebatang lebuh raya di negeri Rajasthan, barat laut India, pada Selasa. - Foto X/Amaresh yadav
NEW DELHI: Sekurang-kurangnya 20 penumpang maut dan ramai lagi cedera selepas sebuah bas terbakar di lebuh raya di negeri Rajasthan, barat laut India pada Selasa.

Menurut pegawai tempatan, kebanyakan mayat sukar dikenal pasti kerana rentung dan proses pengecaman akan dilakukan melalui sampel ujian asid deoksiribonukleik (DNA).

Seramai 57 orang berada di dalam bas berhawa dingin jenis "sleeper" yang dikendalikan oleh sebuah syarikat pengangkutan swasta dan dalam perjalanan dari Jaisalmer ke Jodhpur.

Insiden itu berlaku berhampiran perkampungan Thaiyat, kira-kira 12 kilometer dari bandar Jaisalmer, pada petang Selasa.

Menurut laporan agensi berita Press Trust of India (PTI), pemandu sempat memberhentikan bas di tepi jalan namun api yang bermula dari bahagian belakang cepat merebak ke seluruh kenderaan.

Angka korban ialah 20 orang dan 16 penumpang yang cedera parah telah dimasukkan ke hospital. Rakaman video dikongsi di media sosial menunjukkan bas itu dijilat api dan diselubungi asap hitam tebal.

"Insiden kebakaran bas di Jaisalmer amat menyayat hati. Saya merakamkan ucapan takziah yang mendalam kepada semua yang terjejas akibat kemalangan tragis ini," kata Ketua Menteri Rajasthan Bhajan Lal Sharma dalam satu hantaran di X.

Perdana Menteri India Narendra Modi mengumumkan bayaran ex gratia sebanyak 200,000 rupee (RM9,530) akan diberikan kepada setiap keluarga mangsa yang terkorban dan setiap mangsa yang cedera akan menerima 50,000 rupee.

-- BERNAMA


#bas terbakar #India #bayaran ex gratia #ucapan takziah