DUNIA

20 peratus kanak-kanak Gaza tidak lengkap vaksin akibat konflik, WHO lancar kempen vaksinasi besar-besaran

Bernama 06/11/2025 | 06:40 MYT
WHO rancang kempen vaksinasi besar-besaran di Semenanjung Gaza untuk kanak-kanak yang tidak divaksin sepanjang dua tahun serangan Israel. -Gambar fail/AP
TEL AVIV: Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) merancang untuk melancarkan kempen vaksinasi besar-besaran di Semenanjung Gaza pada Ahad ini, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).


Ringkasan AI
  • WHO rancang kempen vaksinasi besar-besaran di Semenanjung Gaza untuk kanak-kanak yang tidak divaksin sepanjang dua tahun serangan Israel.
  • Lebih 44,000 kanak-kanak dijangka menerima vaksin campak, beguk, rubela, dan polio dalam tempoh 10 hari, dengan dos seterusnya pada Januari.
  • Liputan vaksinasi di Semenanjung Gaza yang sebelumnya 98 peratus, kini dianggarkan turun bawah 70 peratus.


Kira-kira 44,000 kanak-kanak yang tidak dapat divaksin sepanjang dua tahun serangan Israel, dijadualkan menerima vaksin dalam tempoh 10 hari bagi penyakit campak, beguk, rubela dan polio. Dos seterusnya akan diberikan pada Januari.

Susulan penemuan virus polio di Semenanjung Gaza, WHO menjalankan kempen vaksinasi semasa gencatan senjata pada musim panas 2024 dan Februari 2025.

Walaupun terdapat pasukan vaksinasi bergerak, sebahagian kanak-kanak masih tidak dapat divaksin.

WHO menganggarkan, 20 peratus kanak-kanak berusia bawah lima tahun tidak pernah menerima vaksin atau hanya menerima vaksin secara tidak mencukupi akibat konflik.

Serentak dengan kempen imunisasi, Tabung Kanak-kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) akan menilai tahap kekurangan zat makanan bagi membantu golongan muda dengan lebih cepat dan berkesan.

WHO menyatakan liputan vaksinasi di Semenanjung Gaza adalah sebanyak 98 peratus sebelum serangan Israel, namun kini dianggarkan menurun bawah 70 peratus.

-- BERNAMA

Fakta Segera: Jawapan Pantas Dari AI
  • Q: Berapakah jumlah kanak-kanak yang dijadualkan menerima vaksin dalam kempen besar-besaran WHO di Semenanjung Gaza?
    A: Lebih 44,000 kanak-kanak dijangka menerima vaksin campak, beguk, rubela, dan polio dalam tempoh 10 hari.
  • Q: Apa yang menyebabkan penurunan liputan vaksinasi di Semenanjung Gaza dari 98 peratus kepada dianggarkan bawah 70 peratus?
    A: Penurunan liputan vaksinasi di Semenanjung Gaza disebabkan oleh konflik dan serangan Israel yang mengakibatkan sebahagian kanak-kanak tidak dapat divaksin.



#Gaza #UNICEF #vaksin #WHO