20 remaja cedera selepas tanjakan di Texas runtuh

Bernama
Jun 9, 2023 09:03 MYT
Kesemua mangsa yang berumur antara 14 dan 18 itu merupakan peserta kem musim panas di Stahlman Park di Surfside Beach. -AP
HOUSTON: Lebih 20 remaja cedera dalam kejadian tanjakan (ramp) runtuh di Texas pada Jumaat, lapor Xinhua memetik kenyataan pihak berkuasa.
Kesemua mangsa yang berumur antara 14 dan 18 itu merupakan peserta kem musim panas di Stahlman Park di Surfside Beach, kata pegawai maklumat awam untuk Daerah Brazoria, Sharon Trower.
Lima daripada mereka dihantar ke hospital di Houston menggunakan helikopter dan selebihnya dengan bantuan ambulans dan kenderaan persendirian.
Menurut laporan media tempatan tiada kemalangan jiwa dan punca runtuhan sedang disiasat.
-- BERNAMA
#Tanjakan runtuh #Texas #Stahlman Park #Surfside Beach