Sekurang-kurangnya 21 orang maut dan lebih kurang 100 lagi cedera dalam satu letupan di sebuah kilang bunga api di kompleks tentera di utara Vietnam, kata pegawai tentera negara itu.

Menurut saksi, asap hitam mengepul dari kompleks Z121 yang terletak kira-kira 120 kilometer ke utara Hanoi susulan siri letupan selama beberapa jam.

"21 orang terbunuh dan 98 lagi cedera kebanyakan daripada mereka melecur," kata pegawai tentera yang enggan dikenali itu kepada AFP melalui telefon.

Mangsa kebanyakannya dikejarkan ke hospital berdekatan tetapi mereka yang kritikal dipindahkan ke unit khas dekat Hanoi.

"Saya tidak cam anak perempuan saya; dia melecur dari muka sampai ke tapak kaki," kata seorang wanita seperti dipetik oleh agensi berita rasmi Vietnam. "Dia mengandung dan tidak dapat menyelamatkan diri."

Foto-foto yang dikongsikan di beberapa blog berbahasa Vietnam menunjukkan kesan-kesan kejadian. Lebih 2,000 penduduk berhampiran terutamanya mereka yang tinggal dalam lingkungan 15 kilometer dari lokasi kejadian sudah dipindahkan.

"Kebakaran sudah dapat dikawal," kata seorang pegawai polis di Phu Tho kepada AFP.

Polis itu juga memaklumkan satu siasatan rasmi telah dimulakan bagi mengenal pasti punca kejadian.

Menurut pemimpin setempat, letupan pertama berlaku pada pukul 7.55 pagi waktu tempatan dan berterusan selama beberapa jam.

Saksi juga memberitahu agensi berita Vietnam mereka dapat menghidu bau mesiu yang kuat dan merasakan gegaran sehingga beberapa kilometer dari tempat kejadian.

Penduduk daerah Thanh Ba — tempat letaknya kompleks tentera itu — berkata mereka dapat merasakan gegaran siri letupan berkenaan, lapor laman web agensi berita tersebut.

Seorang penduduk memberitahu AFP bahawa penduduk berdekatan melarikan diri ke Viet Tri, kira-kira 40 kilometer dari tempat kejadian kerana bimbangkan keselamatan mereka.

“Kami dapat amaran daripada pihak berkuasa bahawa kemungkinan akan ada lebih banyak letupan yang merbahaya," katanya yang enggan dikenali.

Pada 2010, bunga api yang disiapkan di sebuah stadium untuk sambutan ulang tahun ke-1000 Hanoi meletup dan membunuh 3 rakyat asing dan seorang warga Vietnam. -- Agensi