DUNIA
21,000 kanak-kanak alami kecacatan akibat perang Gaza - Jawatankuasa PBB

Seorang kanak-kanak Palestin duduk di pantai sementara sekumpulan orang ramai bermandi-manda di Laut Mediterranean berhampiran khemah pelarian di tepi laut Khan Younis, selatan Semenanjung Gaza. - Gambar AP
GENEVA: Sekurang-kurangnya 21,000 kanak-kanak di Gaza mengalami kecacatan sejak perang antara Israel dan Hamas tercetus pada 7 Oktober 2023, menurut Jawatankuasa Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengenai Hak Orang Kurang Upaya (OKU).
Dalam tempoh hampir dua tahun konflik itu berlanjutan, seramai 40,500 kanak-kanak dilaporkan mengalami kecederaan baharu berkaitan perang, dengan lebih separuh daripada mereka kini hidup dalam keadaan cacat, jelas jawatankuasa berkenaan.
Menilai keadaan di wilayah Palestin, jawatankuasa itu menegaskan arahan pemindahan yang dikeluarkan tentera Israel ketika serangan di Gaza “sering tidak dapat diakses” oleh golongan dengan masalah pendengaran atau penglihatan, sekali gus menyukarkan proses evakuasi.
“Laporan juga menyebut individu OKU terpaksa melarikan diri dalam keadaan tidak selamat dan tidak bermaruah, seperti merangkak di atas pasir atau lumpur tanpa sebarang bantuan mobiliti,” menurut jawatankuasa itu.Selain itu, sekatan terhadap kemasukan bantuan kemanusiaan ke Semenanjung Gaza dilaporkan memberi kesan tidak seimbang kepada golongan OKU.
“Mereka berdepan gangguan serius dalam mendapatkan bantuan, menyebabkan ramai tidak mempunyai makanan, air bersih atau kemudahan sanitasi, sekali gus bergantung sepenuhnya pada orang lain untuk terus hidup,” katanya.
Berbanding sistem PBB sebelum ini yang mempunyai sekitar 400 pusat agihan, badan kebajikan disokong Amerika Syarikat dan Israel iaitu Gaza Humanitarian Foundation hanya mengendalikan empat lokasi agihan di seluruh Gaza.
Halangan fizikal seperti runtuhan perang dan kehilangan alat bantuan mobiliti turut menyukarkan OKU untuk sampai ke pusat agihan tersebut.
Jawatankuasa itu mendedahkan 83 peratus OKU kehilangan peralatan sokongan mereka, manakala kebanyakan tidak mampu mendapatkan alternatif lain termasuk kuda atau kereta keldai.
Lebih membimbangkan, peralatan seperti kerusi roda, tongkat, alat bantuan berjalan, pendakap dan anggota palsu diklasifikasikan sebagai “barangan kegunaan berganda” oleh pihak berkuasa Israel, sekali gus tidak dibenarkan masuk sebagai sebahagian daripada bantuan kemanusiaan.
Sehubungan itu, jawatankuasa berkenaan menggesa penghantaran bantuan kemanusiaan berskala besar khususnya kepada OKU yang terjejas akibat perang, di samping menuntut semua pihak mengambil langkah perlindungan bagi mengelakkan “lebih banyak keganasan, kecederaan, kematian serta penafian hak”.
Setakat 21 Ogos lalu, jawatankuasa itu menerima laporan sekurang-kurangnya 157,114 individu mengalami kecederaan sejak perang meletus, dengan lebih 25 peratus berisiko mengalami kecacatan kekal.
Daripada jumlah itu, sekurang-kurangnya 21,000 kanak-kanak di Gaza disahkan hidup dengan kecacatan yang diperoleh sejak Oktober 2023.
Jawatankuasa PBB turut menegaskan, Israel perlu melaksanakan langkah khusus bagi melindungi kanak-kanak OKU daripada serangan, serta menyediakan protokol evakuasi yang mengambil kira keperluan golongan ini.
Israel juga digesa memastikan OKU dapat kembali semula ke rumah mereka dengan selamat serta dibantu untuk berbuat demikian, tambah jawatankuasa itu. - Agensi

Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami