DUNIA

23 maut, 104 cedera dalam serangan SDF di kawasan kediaman di Aleppo

Bernama 11/01/2026 | 08:45 MYT
Aleppo menyaksikan peningkatan ketegangan yang mendadak apabila SDF memperhebat serangan dron dan bedilan artileri ke atas kawasan kediaman, menyebabkan korban awam dan kerosakan infrastruktur. - Gambar fail/ Reuters
ALEPPO (Syria): Pengarah Media Direktorat Kesihatan Aleppo, Munir al-Mohammad, berkata angka korban akibat serangan terbaharu organisasi SDF ke atas kawasan kediaman di Aleppo meningkat kepada 23 orang, manakala 104 lagi cedera antara Selasa dan Sabtu, lapor Agensi Berita Arab Syria (SANA).

Al-Mohammad memaklumkan bahawa antara mangsa yang maut ialah seorang kanak-kanak, empat wanita dan seorang pelajar pergigian yang ditembak oleh penembak hendap.

Beliau menambah bahawa kebanyakan mangsa yang cedera adalah wanita dan kanak-kanak, dengan beberapa kes berada dalam keadaan kritikal dan berisiko maut.

Aleppo menyaksikan peningkatan ketegangan yang mendadak apabila SDF memperhebat serangan dron dan bedilan artileri ke atas kawasan kediaman, menyebabkan korban awam dan kerosakan infrastruktur.

Serangan itu berlaku ketika kerajaan berusaha memulihkan kestabilan melalui operasi keselamatan terhad di beberapa kawasan kejiranan.

-- BERNAMA

#Syria #konflik syria #SDF #angka kematian