Skip to main content

Dunia

24 jemaah umrah Indonesia selamat, bas terbakar berhampiran Madinah

81536758941_Asap.jpg
Ketika dalam perjalanan menuju Madinah, pemandu tiba-tiba memberhentikan bas selepas tayar meletup dan asap mula kelihatan dari bahagian hadapan bas. - Gambar hiasan

JAKARTA: Sebuah bas yang membawa 24 jemaah umrah Indonesia terbakar di lebuh raya berhampiran Madinah, Arab Saudi, namun kesemua penumpang dilaporkan selamat tanpa sebarang kecederaan.

Konsul Jeneral Indonesia di Jeddah, Yusron Ambary mengesahkan tiada kemalangan jiwa atau kecederaan dilaporkan, sambil menambah bahawa semua jemaah telah dipindahkan dengan selamat dan dibawa menggunakan bas pengganti.

Advertisement

Beliau berkata insiden itu berlaku pada Khamis waktu tempatan semasa perjalanan dari Makkah ke Madinah, kira-kira 50 kilometer dari pusat bandar, selepas kenderaan itu melepasi pusat pemeriksaan terakhir untuk memasuki kota suci berkenaan.

“Pemandu segera memberhentikan bas selepas tayar meletup dan asap mula kelihatan dari bahagian hadapan bas. Semua penumpang diminta segera turun,” katanya seperti yang dilaporkan agensi berita ANTARA pada Sabtu.

Yusron berkata terdapat 24 orang di dalam bas berkenaan yang kebanyakannya berasal dari Sumatera Barat, manakala pemandunya merupakan warga Mesir.

“Semua jemaah selamat dan tiada kecederaan fizikal. Semua pasport juga berada dalam keadaan baik dan tidak terbakar,” kata Yusron, namun memaklumkan bahawa semua bagasi serta barangan peribadi yang ditinggalkan di dalam bas telah musnah dijilat api.

Hasil siasatan awal tidak menunjukkan sebarang unsur pemanduan melulu, sebaliknya menjurus kepada masalah teknikal kenderaan. KJRI akan terus memantau kes berkenaan, termasuk potensi tuntutan pampasan daripada operator pengangkutan terlibat.

Menurut beliau, Pasukan Petugas Perlindungan Konsulat Jeneral Republik Indonesia (KJRI) di Jeddah telah bertemu dengan ketua kumpulan dan wakil jemaah di Madinah pada Jumaat malam waktu tempatan.

Hasil siasatan awal tidak menunjukkan sebarang unsur pemanduan melulu, sebaliknya menjurus kepada masalah teknikal kenderaan. KJRI akan terus memantau kes berkenaan, termasuk potensi tuntutan pampasan daripada operator pengangkutan terlibat.

Menurut KJRI, jemaah yang terjejas kini berada dalam keadaan baik dan menginap di sebuah hotel di Madinah, walaupun terdapat beberapa kanak-kanak yang mengalami trauma ringan susulan kejadian itu.

Jemaah berkenaan dijadualkan pulang ke Indonesia pada 31 Mac ini menerusi penerbangan Garuda Indonesia dari Madinah.

-- BERNAMA

Must Watch Video