Sabah Memilih: Senarai Calon Rasmi Diumum, Kempen Pilihan Raya Bermula – Ikuti Berita Terkini dari Setiap Lokasi!
DUNIA

25 dimasukkan ke hospital di Istanbul kerana disyaki keracunan makanan

Bernama 22/11/2025 | 11:15 MYT
Kesemua 25 individu itu dilaporkan memesan "lahmacun" - sejenis roti leper tradisional yang ditabur daging cincang, sayur-sayuran dan rempah. - Gambar hiasan/Adobe Stock
ISTANBUL: Seramai 25 individu dimasukkan ke hospital di Istanbul selepas makan di restoran yang sama lewat Jumaat, menurut pihak berkuasa dan media tempatan, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).

Pengarah Kesihatan Wilayah Istanbul Abdullah Emre Guner menulis di platform X pada Jumaat malam bahawa kesemua mereka "secara umumnya berada dalam keadaan yang baik dan sedang menjalani penilaian serta rawatan perubatan yang diperlukan".

Kesemua 25 individu itu dilaporkan memesan "lahmacun" - sejenis roti leper tradisional yang ditabur daging cincang, sayur-sayuran dan rempah - di restoran yang sama di Daerah Sisli.

Pelanggan terbabit mengalami simptom loya dan muntah-muntah, menurut penyiar CNN Turk.

Pihak berkuasa tempatan telah menutup restoran itu, yang didapati beroperasi tanpa lesen, menurut CNN Turk.

Insiden ini berlaku ketika Turkiye berdepan kes kematian empat sekeluarga dari Jerman yang melawat Istanbul.

Kes itu pada mulanya disyaki akibat keracunan makanan, namun kini dipercayai melibatkan pendedahan bahan kimia - kemungkinan wap racun perosak yang bocor ke bilik hotel mereka. Laporan akhir bedah siasat masih belum dikeluarkan.

Kejadian terbaharu ini mencetuskan penelitian lebih ketat terhadap standard keselamatan makanan dan kegagalan pemeriksaan di Istanbul, sebuah destinasi utama pelancongan antarabangsa .

-- BERNAMA


#keracunan makanan #Istanbul #lahmacun #lahmajoun #loya #muntah #Hospital