SEKURANG-kurangnya 25 orang terbunuh dan puluhan masih hilang selepas sebuah feri yang sarat dengan penumpang karam di Sungai Karatoya, Bangladesh, pada Ahad.

Mangsa yang ditemukan lemas setakat ini termasuk 12 wanita dan lapan kanak-kanak.

Menurut Pegawai Daerah Panchagarh, Jahurul Islam, feri itu dilaporkan sedang membawa kebanyakan penganut ke sebuah kuil Hindu bersempena dengan sambutan keagamaan Mahalaya.

"Operasi mencari dan menyelamat mangsa masih diteruskan," katanya.

Jelasnya, pihak berkuasa turut menghadapi cabaran mengenal pasti angka sebenar penumpang feri berkenaan.

Ini kerana, menurut saksi, feri berkenaan difahamkan membawa lebih daripada 70 orang penumpang.

Feri Karam | 25 maut, puluhan masih hilang

Satu jawatankuasa juga telah dibentuk untuk menyiasat punca kejadian tersebut.

Seramai 20 penumpang dipercayai masih hilang manakala beberapa penumpang berjaya berenang ke darat atau diselamatkan.

Setiap tahun, ratusan orang maut dalam kemalangan feri di Bangladesh yang merupakan negara dengan dataran yang rendah dan laluan air pedalaman yang luas, namun piawaian keselamatan yang longgar.