DUNIA

25 mayat ditemukan dalam operasi SAR tanah runtuh di Bandung Barat

Bernama 25/01/2026 | 16:54 MYT
Sebanyak 25 mayat telah ditemukan setakat hari kedua operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa tanah runtuh di Bandung Barat, Jawa Barat, pada Ahad. - Foto REUTERS/Yusep Maulana
JAKARTA: Sebanyak 25 mayat telah ditemukan setakat hari kedua operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa tanah runtuh di Bandung Barat, Jawa Barat, pada Ahad.


Ringkasan AI
  • Sebanyak 25 mayat ditemui dalam operasi mencari dan menyelamat mangsa tanah runtuh di Bandung Barat, Jawa Barat.
  • Pasukan Pengecaman Mangsa Bencana Polis Republik Indonesia sedang mengenal pasti mangsa yang ditemui.
  • Kejadian tanah runtuh berpunca daripada hujan lebat, menyebabkan kira-kira 81 orang masih hilang dan operasi pencarian dilakukan semula pada hari Isnin.


Ketua Pusat Data, Maklumat dan Komunikasi Bencana Badan Nasional Pengurusan Bencana (BNPB), Abdul Muhari berkata kesemua mayat mangsa telah diserahkan kepada pasukan Pengecaman Mangsa Bencana (DVI) Polis Republik Indonesia untuk dikenal pasti.

"Selain mangsa yang maut, seramai 23 orang dilaporkan selamat, manakala 81 yang lain masih hilang.

"Jumlah mangsa dijangka berubah memandangkan lebih banyak mangsa dikesan dan proses pengecaman lanjut dijalankan oleh pasukan DVI," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad malam.

Kejadian tanah runtuh yang berpunca daripada hujan lebat itu melanda Kampung Pasir Langu kira-kira pukul 2.30 pagi Sabtu, sehingga menimbus beberapa kawasan kediaman.

Selain faktor cuaca, Abdul Muhari berkata bentuk muka bumi di lokasi kejadian turut memberikan cabaran besar kepada pasukan penyelamat sepanjang operasi pencarian dilakukan.

"Berdasarkan pertimbangan teknikal di lapangan, operasi pencarian dihentikan buat sementara waktu dan akan disambung semula pada Isnin," katanya.

-- BERNAMA


#tanah runtuh #Bandung Barat #mayat ditemukan #operasi sar