INTERNATIONAL
25 peratus pekerja di Jerman bekerja dari rumah
Kajian oleh ifo Institute yang berpangkalan di Munich mendapati bahawa pada Februari, 24.5 peratus pekerja di Jerman bekerja dari rumah, meningkat daripada 23.4 peratus pada Ogos 2024. - Gambar hiasan/ Unsplash
MUNICH: Hampir satu daripada setiap empat pekerja di Jerman bekerja dari rumah sekurang-kurangnya untuk sebahagian daripada waktu kerja mereka, menurut satu tinjauan yang diterbitkan pada Isnin.
Situasi itu walaupun terdapat usaha oleh beberapa majikan untuk menggalakkan kakitangan kembali bekerja di pejabat selepas berakhirnya pandemik COVID-19, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).
Kajian oleh ifo Institute yang berpangkalan di Munich mendapati bahawa pada Februari, 24.5 peratus pekerja di Jerman bekerja dari rumah, meningkat daripada 23.4 peratus pada Ogos 2024.
Angka itu pada dasarnya tidak berubah sejak April 2022.
"Kami tidak melihat sebarang bukti dalam data yang menunjukkan bekerja dari rumah semakin berkurangan," kata penyelidik ifo, Jean-Victor Alipour.
"Bekerja dari rumah telah menjadi amalan tetap."
"Langkah berasingan oleh syarikat untuk membawa pekerja mereka kembali ke pejabat tidak membentuk satu trend yang dapat dikenal pasti secara statistik," tambahnya.
Menurut tinjauan itu, pekerja dalam sektor perkhidmatan berkemungkinan besar dapat bekerja dari rumah, iaitu sebanyak 34.3 peratus, diikuti sektor pembuatan (16.9 peratus).
Sebaliknya, hanya 4.6 peratus pekerja dalam industri pembinaan bekerja dari rumah.
Kajian di Amerika Syarikat menunjukkan syarikat yang berdepan tekanan ekonomi semakin mengehadkan hak untuk bekerja dari rumah.
"Langkah sedemikian juga boleh mendorong peletakan jawatan secara sukarela," kata Alipour.
Penyelidikan institut itu mencadangkan bahawa model kerja hibrid - gabungan kerja dari rumah dan di pejabat - secara umumnya tidak menjejaskan produktiviti, terutama jika pekerja menyelaraskan kehadiran mereka di tempat kerja.
-- BERNAMA