awani
  • LIVE
  • Video
  • Malaysia
  • Dunia
  • Politik
  • Hiburan
  • Bisnes
  • Sukan
  • Rancangan
  • Gaya Hidup
  • Lain-Lain
    • Teknologi
    • Podcast
  • BM
    EN
  • LIVE
  • Daftar
  • BM
    EN
  • LIVE
  • Daftar
awani
  • LIVE
  • Video
  • Malaysia
  • Dunia
  • Politik
  • Hiburan
  • Bisnes
  • Sukan
  • Rancangan
  • Gaya Hidup
  • Lain-Lain
    • Teknologi
    • Podcast
Lain-Lain
  • Teknologi
  • Podcast
Papa Zola The Movie catat kutipan RM55 juta, ketepikan Avatar: Fire and Ash, Zootopia 2
Prasarana catat rekod 1.63 juta penumpang harian tertinggi 31 Disember
RM15 juta untuk Dapur Siswa, pastikan tiada mahasiswa 'ikat perut'
  • POLISI PRIVASI
  • TERMA PENGGUNAAN
  • IKLAN BERSAMA KAMI
  • PELABUR

© 2025 Astro AWANI Network Sdn. Bhd. 200001032668(535275-D) All Rights Reserved.

26 negara EU gesa hormati undang-undang antarabangsa susulan operasi AS di Venezuela

Bernama
Bernama
05/01/2026
14:15 MYT
26 negara EU gesa hormati undang-undang antarabangsa susulan operasi AS di Venezuela
EU menggesa agar tekad rakyat Venezuela untuk "memulihkan demokrasi dan menyelesaikan krisis semasa" dihormati. - Gambar fail/Reuters
ISTANBUL: Sebanyak 26 negara anggota Kesatuan Eropah (EU) pada lewat Ahad menyeru semua pihak supaya bertenang dan menahan diri, serta menggesa agar undang-undang antarabangsa dihormati susulan tindakan ketenteraan Amerika Syarikat (AS) di Venezuela baru-baru ini, lapor Anadolu Ajansi.

Ringkasan AI
  • Kesatuan Eropah (EU) menyeru semua pihak untuk mengekalkan ketenangan dan menghormati undang-undang antarabangsa susulan tindakan AS di Venezuela.
  • EU menegaskan bahawa Presiden Venezuela, Nicolas Maduro, tidak mempunyai legitimasi sebagai presiden yang dipilih secara demokratik, dan menyeru untuk peralihan kuasa secara aman yang diterajui oleh rakyat Venezuela.
  • EU menggesa pembebasan tahanan politik di Venezuela tanpa syarat serta menekankan perlunya dialog rundingan, demokratik, inklusif, dan aman yang dipimpin oleh rakyat Venezuela untuk penyelesaian krisis.

"EU menggesa semua pihak supaya bertenang dan menahan diri bagi mengelakkan ketegangan serta memastikan penyelesaian damai terhadap krisis itu. EU mengingatkan bahawa dalam apa jua keadaan, prinsip undang-undang antarabangsa dan Piagam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mesti didukung," menurut kenyataan bersama yang dikeluarkan oleh Ketua Dasar Luar EU, Kaja Kallas.
Kenyataan itu, yang disokong oleh 26 negara anggota kecuali Hungary, turut mengingatkan anggota Majlis Keselamatan PBB mengenai "tanggungjawab khusus" mereka untuk mendukung prinsip undang-undang antarabangsa sebagai "tonggak kepada seni bina keselamatan antarabangsa".
"EU telah berulang kali menyatakan bahawa (Presiden Venezuela yang ditangkap) Nicolas Maduro tidak mempunyai legitimasi sebagai presiden yang dipilih secara demokratik dan menggesa peralihan secara aman yang diterajui oleh rakyat Venezuela, dengan menghormati kedaulatan negara itu. Hak rakyat Venezuela untuk menentukan masa depan mereka sendiri mesti dihormati," menurut kenyataan itu.
Ia turut menekankan keperluan untuk menangani dan memerangi "jenayah terancang rentas sempadan dan pengedaran dadah" menerusi kerjasama berterusan, "dengan menghormati sepenuhnya undang-undang antarabangsa serta prinsip keutuhan wilayah dan kedaulatan".
"Kami sedang berhubung rapat dengan Amerika Syarikat, serta rakan kongsi serantau dan antarabangsa, bagi menyokong dan memudah cara dialog dengan semua pihak yang terlibat ke arah penyelesaian krisis secara rundingan, demokratik, inklusif dan aman, yang dipimpin oleh rakyat Venezuela," menurut kenyataan itu.
EU turut menggesa agar tekad rakyat Venezuela untuk "memulihkan demokrasi dan menyelesaikan krisis semasa" dihormati.
"Kemua tahanan politik yang kini ditahan di Venezuela mesti dibebaskan tanpa syarat. Pihak berkuasa konsular negara anggota EU sedang bekerjasama rapat bagi melindungi keselamatan warga EU, termasuk mereka yang ditahan secara tidak sah di Venezuela," tambah kenyataan itu.
Kenyataan itu dikeluarkan selepas Presiden Donald Trump berkata tindakan ketenteraan AS di Venezuela telah menyebabkan penangkapan Presiden Nicolas Maduro dan isterinya, Cilia Flores, selain berikrar untuk menguatkuasakan kawalan Amerika ke atas negara itu buat sementara waktu, termasuk menggunakan tentera AS jika perlu.
Maduro dan Flores tiba di New York pada lewat Sabtu dan kini ditahan di sebuah pusat tahanan di Brooklyn. Mereka berdepan pertuduhan persekutuan AS berkaitan pengedaran dadah dan dakwaan bekerjasama dengan kumpulan yang ditetapkan sebagai organisasi pengganas.
Maduro menafikan semua tuduhan berkenaan, manakala pegawai di ibu negara Venezuela, Caracas, menggesa agar pasangan itu dibebaskan.
-- BERNAMA
Topic Berkaitan
#Kesatuan Eropah
#pengganas
#Donald Trump
#tindakan ketenteraan
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami
Iklan