DUNIA
28 lagi terbunuh, puluhan cedera dalam serangan Israel di Gaza

Tentera Israel telah membunuh hampir 57,700 rakyat Palestin, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak, di Gaza sejak Oktober 2023. - Gambar fail/ Reuters
BANDARAYA GAZA/ISTANBUL: Sekurang-kurangnya 28 orang awam terbunuh manakala puluhan lagi cedera dalam serangan Israel sebelum subuh di Semenanjung Gaza pada Khamis, lapor Anadolu Ajansi (AA) memetik sumber perubatan.
Ringkasan AI
- Sekurang-kurangnya 28 orang awam terbunuh dan puluhan cedera dalam beberapa serangan Israel di Semenanjung Gaza, termasuk serangan ke atas orang awam yang menunggu bantuan makanan dan serangan ke atas rumah serta khemah pelarian.
- Serangan menyasarkan kawasan seperti Deir al-Balah, kem pelarian Bureij dan Nuseirat, serta Khan Younis, dengan mangsa termasuk wanita, kanak-kanak dan satu keluarga yang terbunuh dalam serangan ke atas rumah mereka.
- Sejak Oktober 2023, hampir 57,700 rakyat Palestin terbunuh dalam konflik Gaza, dan Israel kini berdepan waran tangkap ICC serta kes genosid di Mahkamah Keadilan Antarabangsa.
Dua rakyat Palestin turut terbunuh manakala 10 lagi cedera dalam serangan dron Israel di kem pelarian Nuseirat.
Di selatan Semenanjung Gaza, tentera Israel membunuh lima orang, termasuk dua kanak-kanak, dan mencederakan 20 yang lain dalam serangan ke atas khemah yang menempatkan penduduk Palestin yang kehilangan tempat tinggal di kawasan Al-Mawasi, Khan Younis.
Seorang ibu bersama tiga anaknya turut terbunuh apabila tentera Israel menyerang rumah mereka di Khan Younis. Lebih 20 orang cedera dalam serangan sama.
Tentera Israel telah membunuh hampir 57,700 rakyat Palestin, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak, di Gaza sejak Oktober 2023. Pengeboman tanpa henti itu telah memusnahkan wilayah itu serta menyebabkan kekurangan bekalan makanan dan penularan penyakit.
Pada November lalu, Mahkamah Jenayah Antarabangsa telah mengeluarkan waran tangkap terhadap Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu dan bekas Menteri Pertahanannya Yoav Gallant atas dakwaan jenayah perang dan jenayah terhadap kemanusiaan di Gaza.
Israel juga berdepan kes genosid di Mahkamah Keadilan Antarabangsa berhubung perangnya di wilayah itu.
-- BERNAMA
Dapatkan berita terkini di sini


Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami