INTERNATIONAL
28 terbunuh dalam serangan udara Israel ke atas hospital di Gaza

Kemusnahan yang berlaku di sebuah hospital di Khan Younis, selatan Gaza selepas dibom oleh Israel pada Selasa. - Gambar Reuters
GAZA: Sekurang-kurangnya 28 orang terbunuh dan puluhan lagi cedera selepas sebuah hospital di Khan Younis, selatan Gaza, dibom dalam serangan udara Israel pada Selasa, menurut jurucakap agensi pertahanan awam yang dikendalikan Hamas.
Menurut sumber tempatan, enam bom dijatuhkan secara serentak oleh pesawat pejuang Israel ke atas Hospital Eropah Gaza, mengenai kawasan dalam perkarangan hospital serta sekitarnya.
Tentera Israel mendakwa, ia melancarkan "serangan tepat" menyasarkan " Hamas di pusat arahan dan kawalan" yang didakwa terletak di bawah hospital tersebut.
Seorang wartawan bebas yang bertugas untuk BBC turut cedera dalam serangan itu dan kini berada dalam keadaan stabil selepas menerima rawatan.Letupan kuat itu mengakibatkan kawah besar dalam kawasan hospital dan memusnahkan beberapa kenderaan, termasuk sebahagian sebuah bas besar.
Saksi mata melaporkan, dron Israel terus berlegar di ruang udara hospital, menghalang pasukan penyelamat daripada menghampiri lokasi serangan.
Sebuah dron quadcopter dilaporkan telah mencederakan dua pegawai pertahanan awam semasa mereka cuba mendekati Hospital Eropah.
Seorang pakar bedah plastik, Dr Tom Potokar yang berkhidmat dengan pertubuhan bantuan antarabangsa Ideals, berada dalam hospital ketika serangan berlaku.
Dalam wawancara bersama program Newshour BBC, beliau menggambarkan insiden itu sebagai "enam letupan besar berturut-turut" yang berlaku "tanpa sebarang amaran".
“Keadaan menjadi sangat panik,” katanya.
Mangsa yang tercedera dan terkorban telah dipindahkan ke Hospital Nasser, juga di Khan Younis, di mana kakitangan perubatan dilaporkan sedang bergelut menangani jumlah mangsa yang tinggi.
Bagaimanapun, hospital itu sendiri turut menjadi sasaran serangan pada awal Selasa, menurut sumber perubatan dan saksi.
Seorang jurufoto terkenal Palestin, Hassan Aslih, disahkan terbunuh bersama seorang lagi mangsa dalam serangan yang disyaki dilakukan oleh dron ke atas sayap pembedahan hospital.
Aslih ketika itu sedang dirawat akibat kecederaan dari serangan terdahulu ke atas hospital yang sama pada April. Rakannya, Helmi al-Faqawi, terbunuh dalam serangan tersebut dan beberapa wartawan lain turut cedera.
Tentera Israel sebelum ini menuduh Aslih terlibat dalam serangan Hamas ke atas Israel pada 7 Oktober.
Dalam satu kenyataan bersama, Tentera Pertahanan Israel (IDF) dan Autoriti Keselamatan Israel (ISA) mendakwa Hamas "terus menggunakan hospital-hospital di Gaza untuk aktiviti ketenteraan" - satu dakwaan lama yang sentiasa dinafikan oleh kumpulan itu.
Media Israel melaporkan, serangan terbaharu itu menyasarkan tokoh kanan Hamas, Mohammed Sinwar iaitu adik kepada bekas ketua Hamas di Gaza, Yahya Sinwar.
Hamas setakat ini belum mengeluarkan sebarang kenyataan berhubung laporan tersebut.
Mohammed Sinwar dipercayai mengambil alih kepimpinan sayap ketenteraan Hamas selepas kematian Mohammed Deif dalam serangan udara Israel musim panas lalu.
Dalam perkembangan berasingan pada malam Selasa, tentera Israel memaklumkan, dua projektil berjaya dipintas selepas dilancarkan dari Gaza.
Sayap bersenjata kumpulan Jihad Islam mengaku bertanggungjawab terhadap serangan roket tersebut.

Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami