DUNIA

3 ditahan selepas lebih 500kg kokain dirampas dari kontena di Sydney

Bernama 02/09/2025 | 03:40 MYT
Foto yang dikeluarkan oleh Polis Persekutuan Australia menunjukkan sejumlah kokain yang disembunyikan di sebalik dinding palsu sebuah kontena penghantaran di Pelabuhan Sydney. - Foto AP
SYDNEY: Pihak berkuasa Australia menahan dan mendakwa tiga lelaki susulan rampasan lebih 500 kilogram kokain yang ditemukan dalam sebuah kontena perkapalan dari Eropah yang tiba di Sydney, menurut polis pada Selasa, lapor Xinhua.

Pasukan khas pelbagai agensi terdiri daripada penyiasat Polis Persekutuan Australia dan pasukan polis tempatan di negeri pantai timur New South Wales mengumumkan penahanan itu selepas siasatan ke atas pekerja di pelabuhan Sydney yang dipercayai terlibat dalam memudahkan penyeludupan dadah.

Menurut kenyataan pihak berkuasa, penyiasat menerima maklumat risikan bahawa sekumpulan individu merancang mengeluarkan dadah daripada sebuah kontena semasa ia disimpan di sebuah kemudahan kargo.

Seorang pemandu foklif, lelaki berusia 38 tahun didakwa mengalihkan kontena di sekitar kemudahan itu untuk mengakses kontena tertentu pada awal pagi Ahad sebelum seorang lelaki kedua, berusia 25 tahun, memasuki kontena itu bersama beg.

Dia ditahan ketika keluar dari sebuah kontena, dan polis menemukan beberapa peralatan yang didakwa digunakan untuk memotong dinding di bahagian belakang kontena.

Pasukan pakar kemudian hadir dan berjaya menanggalkan dinding itu sebelum menemukan 506 blok seberat satu kilogram setiap satu berisi serbuk putih yang disahkan sebagai kokain.

Menurut polis, jumlah rampasan itu melebihi A$164 juta (RM457 juta).

Lelaki berusia 38 tahun itu ditahan apabila kembali ke kontena berkenaan.

Tidak lama kemudian, seorang lelaki berusia 42 tahun dengan wang tunai A$200,000 (RM554,000) ditahan polis ketika keluar dari rumah suspek berusia 38 tahun itu, dan didakwa berurusan dengan wang yang dipercayai hasil jenayah.

Selain itu, wang tunai sebanyak A$130,000 (RM360,000) turut dirampas dari rumah lelaki berusia 25 tahun.

Pasukan khas berkenaan memaklumkan kontena itu dihantar dari Eropah, namun siasatan lanjut mengenai sumber kokain masih dijalankan.

--BERNAMA-XINHUA







#kokain #rampasan #kontena pakaian #eropah