CONAKRY, GUINEA: Sekurang-kurangnya 30 orang terbunuh selepas timbunan sampah di sebuah tapak pelupusan utama runtuh lalu menghempap rumah-rumah berhampiran di ibu negara Guinea, Conakry.
Kerajaan Guinea memaklumkan, insiden yang berlaku di kawasan Dar-es-Salam itu turut menyebabkan 22 lagi mangsa cedera, termasuk enam yang dilaporkan berada dalam keadaan serius.
Menurut kenyataan kerajaan, kejadian berlaku kira-kira pukul 2 pagi waktu tempatan selepas hujan lebat melanda kawasan tersebut sepanjang malam.
Pihak berkuasa telah menggerakkan sejumlah besar aset dan anggota penyelamat, termasuk tentera, bagi menjalankan operasi mencari dan menyelamat mangsa yang dipercayai masih terperangkap di bawah timbunan sampah.
Seorang wanita yang ditemui media tempatan mendakwa lima anaknya terkorban dalam tragedi itu, sementara kebimbangan semakin meningkat bahawa angka korban mungkin terus bertambah.
Rakaman dari lokasi menunjukkan pasukan penyelamat menggunakan jentera pengorek untuk mengalihkan timbunan sampah yang bertaburan, manakala penduduk setempat berkumpul berhampiran kawasan kejadian.
Perdana Menteri Guinea, Mamadou Oury Bah turut melawat lokasi tragedi bagi menilai keadaan semasa serta memantau operasi mencari dan menyelamat yang sedang dijalankan.
Sebelum ini, pemimpin komuniti setempat, Lancine Sylla berkata, beliau menjangkakan jumlah korban yang tinggi susulan kejadian tersebut.
"Kami telah mengeluarkan 18 mayat yang kemudiannya dibawa ke bilik mayat," katanya.
Tragedi itu bukan kali pertama berlaku di tapak pelupusan berkenaan.
Pada 2017, satu lagi kejadian tanah runtuh di lokasi sama meragut 10 nyawa. - Agensi