300,000 pelajar Gaza sambung sekolah di sebalik sekatan bantuan

Sejak Oktober 2023, serangan Israel telah meragut hampir 68,000 nyawa rakyat Palestin di Gaza, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak, dan menyebabkan wilayah itu hampir tidak dapat didiami. - Reuters
ISTANBUL: Kira-kira 300,000 pelajar Palestin akan menyambung semula sesi persekolahan di Semenanjung Gaza pada Sabtu di bawah kelolaan Agensi Bantuan dan Kerja Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian Palestin (UNRWA), meskipun sekatan oleh Israel terus menghalang kemasukan bantuan bernilai ratusan juta dolar ke wilayah itu, lapor Anadolu Ajansi (AA).
Penasihat media UNRWA, Adnan Abu Hasna berkata agensi itu telah menyediakan pelan untuk memulakan semula proses pembelajaran bagi 300,000 pelajar Palestin, dengan angka itu dijangka meningkat.
Beliau berkata sekitar 10,000 pelajar akan mengikuti kelas secara bersemuka di sekolah dan pusat perlindungan, manakala majoriti besar akan menerima pembelajaran secara jarak jauh kerana "adalah mustahil untuk melalui dua tahun tanpa persekolahan, selepas dua tahun sebelumnya terjejas akibat COVID-19."
Sebanyak 8,000 guru akan terlibat dalam program pendidikan itu.Pendidikan di Gaza digantung sejak 8 Okt 2023 susulan bermulanya genosid Israel di wilayah itu. Sebahagian besar sekolah UNRWA dan kerajaan telah dijadikan pusat perlindungan bagi keluarga yang dipindahkan, manakala banyak sekolah lain musnah atau mengalami kerosakan teruk.
Data Kementerian Pendidikan Palestin menunjukkan sehingga 16 Sept lalu, Israel telah memusnahkan 172 sekolah kerajaan, mengebom atau merosakkan 118 yang lain, dan menyerang lebih 100 sekolah yang dikendalikan oleh UNRWA.
Kementerian itu turut melaporkan seramai 17,711 pelajar terbunuh dan 25,897 cedera sejak serangan bermula, selain 763 kakitangan pendidikan maut dan 3,189 lagi cedera.
"Kami juga mempunyai pelan untuk mengaktifkan semula 22 klinik pusat di Semenanjung Gaza," kata Abu Hasna. "Kami mempunyai puluhan pusat pengagihan makanan dan ribuan kakitangan dengan pengalaman logistik yang luas."
Beliau menambah bahawa UNRWA telah pun membeli bekalan bernilai ratusan juta dolar yang masih terperangkap di luar Gaza.
Abu Hasna mengecam tindakan Israel yang menghalang usaha bantuan kemanusiaan, sambil berkata "banyak keperluan asas termasuk bahan perlindungan, selimut, pakaian musim sejuk dan ubat-ubatan tidak dibenarkan masuk dari pihak Israel, sekali gus memburukkan lagi situasi kemanusiaan."
Beliau memberi amaran bahawa 95 peratus penduduk Gaza kini bergantung kepada bantuan kemanusiaan selepas kehilangan sumber pendapatan, dan keadaan semakin meruncing.
"Ratusan ribu penduduk yang dipindahkan kini tinggal di kawasan terbuka selepas kembali ke Bandar Gaza susulan berkuatkuasanya gencatan senjata pada 10 Okt," katanya. "Kemasukan bantuan kini menjadi keperluan mendesak sebelum musim sejuk."
Perjanjian gencatan senjata Gaza dimeterai antara Israel dan Hamas minggu lalu berdasarkan pelan yang dikemukakan oleh Presiden Amerika Syarikat Donald Trump. Fasa pertama merangkumi pembebasan tawanan Israel sebagai pertukaran bagi tahanan Palestin. Pelan itu turut merancang pembinaan semula Gaza serta penubuhan mekanisme pemerintahan baharu tanpa Hamas.
Sejak Oktober 2023, serangan Israel telah meragut hampir 68,000 nyawa rakyat Palestin di Gaza, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak, dan menyebabkan wilayah itu hampir tidak dapat didiami.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami